Golongan kaya, syarikat korporat digesa bantu masalah miskin bandar

Anwar dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan PH Wilayah Persekutuan dan NGO di Kompleks Darul Puteri, Kuala Lumpur hari ini.
Anwar dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan PH Wilayah Persekutuan dan NGO di Kompleks Darul Puteri, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan kaya dan syarikat korporat digesa untuk turut membantu menyelesaikan masalah miskin bandar khususnya di Kuala Lumpur.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak wajar untuk menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada kerajaan sepenuhnya.

"Kerajaan telah ambil beberapa pendekatan baharu dari segi kebajikan, pendidikan dan polisi perumahan. Tetapi tak tepat untuk harapkan jentera kerajaan saja untuk selesaikan masalah ini.

"Sebaliknya ini juga tanggungjawab kepada golongan kaya dan syarikat korporat di Kuala Lumpur yang dapat keuntungan berbilion ringgit untuk selesaikan masalah pekerja mereka sendiri seperti masalah perumahan," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan dan badan bukan kerajaan NGO di sini hari ini.

Anwar berkata, isu miskin bandar adalah antara perkara yang dibangkitkan dalam perjumpaan berkenaan dan beliau berjanji akan membawa masalah itu untuk perhatian kerajaan.

"Laporan Unicef (Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) menunjukkan masalah kadar kemiskinan bandar lebih parah daripada apa yang dijangka di peringkat awal. Umpamanya disebabkan kemiskinan, ada yang terpaksa tinggal sehingga 14 orang dalam satu rumah kecil.

"Seterusnya isu miskin bandar ini akan beri kesan kepada masalah sosial, kesihatan dan mutu pendidikan. Tentunya jabatan dan kementerian berkaitan telah ambil langkah tetapi saya fikir perlu ada anjakan yang lebih supaya kita dapat selesaikan sebahagian daripada masalah mereka," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kebimbangan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun dengan gejala kemiskinan bandar yang membelenggu warga kota dan beliau menyifatkannya lebih serius daripada kemiskinan di kampung.

Artikel Berkaitan:

Rina yang merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa di Kuala Lumpur berkata, lebih banyak peluang pekerjaan perlu dicipta untuk golongan muda di kampung bagi mengurangkan penghijrahan orang muda ke bandar untuk mencari rezeki tetapi akhirnya tetap terperangkap dengan masalah kemiskinan bandar.

ARTIKEL BERKAITAN Miskin bandar lebih serius daripada miskin kampung: Rina