Usahawan muda raih RM1,000 jual 'tudung merdeka'

Asrizawani menunjukkan antara corak bertemakan patriotik dengan gabungan warna Jalur Gemilang yang laris dijual di kedainya ketika tinjauan Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama
Asrizawani menunjukkan antara corak bertemakan patriotik dengan gabungan warna Jalur Gemilang yang laris dijual di kedainya ketika tinjauan Bernama baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Dengan semangat patriotisme yang tinggi dan rasa cintakan negara, seorang usahawan muda memilih untuk menjual tudung bawal bercorak bendera Malaysia sejak awal Ogos lepas, bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Asrizawani Alias, 27, berkata, beliau tidak menyangka hasrat untuk menggalakkan lebih ramai wanita menggayakan tudung bawal 'edisi merdeka' mendapat sambutan memberangsangkan, sehingga berjaya meraih jualan kira-kira RM1,000 sehari.

"Banyak jabatan antaranya Jabatan Imigresen Malaysia Perlis dan sekolah-sekolah serta Taska membeli secara borong untuk digayakan pada hari sambutan kemerdekaan yang bakal diadakan pihak jabatan dan sekolah masing-masing.

“Tidak kurang juga para pelajar yang tidak mahu ketinggalan mendapatkan tudung edisi merdeka untuk mengambil bahagian dalam pertandingan pakaian beragam bertemakan Hari Kebangsaan di sekolah-sekolah," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedainya yang berpapan tanda #KedaiKakAs, berhadapan Stesen Teksi Kangar di sini.

Asrizawani berkata, selain bendera Malaysia diangkat dan dijulang megah, pemakaian tudung bercorak bendera Malaysia dan bunga raya juga ibarat menjunjung tinggi bendera menutupi mahkota wanita dan sudah tentu ia lebih mendatangkan bahang Hari kebangsaan.

Beliau menjual tudung itu, yang bersaiz 48 inci kali 48 inci, berfabrik 'cotton' dengan harga serendah RM10 sehelai.

Harganya yang murah itu juga mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan luar Perlis iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur yang membeli secara dalam talian.

Selain menjual secara langsung di kedainya yang dibuka setiap Isnin hingga Sabtu, Asrizawani juga menjual secara dalam talian 24 jam menerusi akaun Facebooknya sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Bukan keuntungan yang menjadi perkara utama, tetapi sambutan dan galakan memakai tudung edisi merdeka supaya masyarakat hari ini terutama golongan muda lebih menghargai dan merasai erti kemerdekaan,” katanya.

Tambahnya, selain tudung yang berjalur bendera dengan tulisan merdeka ke-62, beliau turut menjual tudung bercorak bunga raya sebagai bunga kebangsaan dan yang bercorak Menara Berkembar Petronas sebagai ikon negara Malaysia.

Ketika ini beliau mendapatkan stok tudung berkenaan daripada pembekal di Sungai Petani, Kedah tetapi pada masa akan datang ibu kepada dua orang anak itu tidak menolak kemungkinan untuk mengeluarkan rekaan sendiri mengikut citarasanya untuk terus menyokong usaha menyemarakkan semangat kecintaan terhadap negara. - Bernama