Tulisan jawi: Dong Zong masih tak puas hati

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan pendesak Cina, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bersama lapan badan lain terus menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dalam isu pembelajaran tulisan jawi untuk pelajar tahun empat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) di negara ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan susulan keputusan Kabinet baru-baru ini yang memutuskan pembelajaran tulisan jawi hanya akan dijalankan jika mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Dong Zong berkata, keputusan tersebut akan menimbulkan pelbagai masalah malah tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Lebih-lebih lagi kebanyakan SRJK Cina di Sabah dan Sarawak tidak mempunyai PIBG,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan bersama lapan pertubuhan lain hari ini.

Turut menyokong Dong Zong ialah Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Persekutuan Persatuan-persatuan Alumni Sekolah China Malaysia dan Gabungan Persatuan Alumni Universiti Taiwan Malaysia, Merdeka University Bhd, Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Majlis Bahasa Cina Malaysia dan Persatuan Bekas Siswa Universiti dan Kolej Di China, Malaysia.

Menurut gabungan itu, adalah lebih wajar sekiranya keputusan berhubung pengenalan tulisan jawi diserahkan kepada Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) di SRJK memandangkan badan itu merangkumi wakil PIBG dan persatuan alumni.

Dalam kenyataan bersama itu, mereka menyambut baik usaha kerajaan menangani kebimbangan yang disuarakan sesetengah pihak berhubung pengenalan tulisan jawi itu.

Mereka menegaskan bahawa matlamat subjek Bahasa Malaysia di SRJK adalah bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid.

Artikel Berkaitan:

Hal demikian mereka tidak bersetuju jika murid di SRJK mempelajari tulisan jawi kerana menurut mereka ia langsung tidak membantu meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan itu.

“Maka, hanya setakat memperkenalkan tulisan jawi kepada murid-murid untuk mengetahui adanya jenis tulisan itu sahaja adalah memadai.

“Pada pandangan kami, pihak kerajaan prihatin terhadap suara komuniti bukan Islam dan mengambil langkah penyelesaian untuk mengikis kebimbangan komuniti bukan Islam merupakan satu tindakan yang tepat,” tambah mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Tulisan jawi diajar jika dapat persetujuan PIBG: KPM

Langkah memperkenalkan tulisan jawi itu, menurut mereka, boleh dilakukan dengan merujuk buku teks Bahasa Malaysia SRJK tahun lima yang ada memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum termasuk jawi.

Mereka juga meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan isi kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan buku teks mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi memberikan penjelasan penuh kepada orang ramai tentang bagaimana pembelajaran tulisan jawi akan dilaksanakan nanti.

“KPM juga harus terlebih dahulu berunding dan mendapat persetujuan pihak berkepentingan terutamanya Dong Jiao Zong dan pertubuhan pendidikan Tamil sebelum keputusan dibuat.

“Ini adalah penting untuk mengikis kebimbangan dan keraguan orang ramai, serta memastikan ciri-ciri dan identiti SRJK CIna dan SRJK Tamil tidak terjejas,” kata kenyataan itu lagi.

KPM pada asalnya bercadang memperkenalkan pembelajaran tulisan jawi sebanyak enam muka surat dalam buku teks Bahasa Malaysia tahun empat.

Namun setelah mendapat bantahan daripada orang bukan Melayu, ia dikurangkan menjadi tiga muka surat dan bakal dilaksana 'secara pilihan'.

Bagaimanapun, kerana bangkangan terus disuarakan, akhirnya kabinet memutuskan pengajaran tulisan jawi itu tertakluk kepada persetujuan PIBG di sekolah vernakular.