Zakir Naik perlu dapatkan pandangan Abdul Hadi

Abdul Hadi Awang
A
A

SHAH ALAM - Pendakwah bebas, Dr Zakir Naik dinasihatkan agar mendapatkan pandangan daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung keadaan sebenar rakyat di negara ini.

Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Pusat, S Barathidasan berkata, ia berikutan Malaysia mempunyai suasana berbeza kerana rakyatnya pelbagai agama dan kaum.

Menurutnya, Zakir Naik perlu faham situasi di Malaysia tidak sama seperti di India.

Katanya, DHPP tidak mempertikaikan status penduduk tetap Zakir Naik, namun hanya meminta supaya pendakwah itu menghormati prinsip hak asasi manusia.

“Kami minta Zakir Naik tidak keluarkan pelbagai kenyataan sehingga menyentuh sensitiviti kaum dan agama yang boleh menggugat perpaduan kaum.

“Rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini sentiasa menjaga hubungan baik yang terjalin bagi memastikan kelangsungan hidup dalam suasana aman dan harmoni,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya yakin dan percaya Islam memimpin perpaduan dan buktinya DHPP tidak berdepan apa-apa masalah dengan kepimpinan parti Islam, Pas.

“Rakyat bukan Islam dalam pemerintahan kerajaan Pas di Kelantan dan Terengganu tidak mempunyai apa-apa masalah, malah hidup lebih selesa, aman damai serta harmoni.

“Ini kerana Pas menghormati adat, agama dan kepercayaan semua kaum di negara ini serta mengekalkan semangat toleransi,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Zakir Naik mohon maaf, tak mahu salah faham berlanjutan

Terdahulu, beliau meminta Zakir Naik tidak menyentuh kepercayaan agama lain serta kesetiaan dan kewarganegaraan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Zakir Naik dalam ceramahnya di Kelantan baru-baru ini didakwa telah membandingkan masyarakat Hindu di Malaysia yang dikatakan mendapat lebih banyak keistimewaan berbanding masyarakat Islam di India.

Penceramah itu juga mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Zakir Naik dilapor telah membuat permohonan maaf terhadap mana-mana pihak yang tersinggung dengan ucapannya yang didakwa disalah tafsir pihak tertentu baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Zakir Naik mendakwa situasi itu berlaku tanpa niatnya dan permohonan maaf dibuat bagi mengelakkan salah faham berlanjutan.