SPRM tidak siasat kebocoran maklumat bank kepada Sarawak Report: Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyiasat kemungkinan kebocoran dokumen bank yang menyebabkan penerbitan sebuah artikel bertajuk 'Najib Razak's Personal Accounts Linked To 1MDB Money Trail Malaysia Exclusive' dalam laman web Sarawak Report.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Rosli Husain, 54, berkata pasukannya hanya memfokuskan siasatan kes kepada kemungkinan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata artikel itu diterbitkan pada 2 Julai 2015, beberapa hari sebelum SPRM memulakan siasatan terhadap syarikat SRC International Sdn Bhd dan akaun-akaun bank peribadi milik anak guamnya pada 6 Julai 2015.

Harvinderjit: Ketika membuat siasatan, kamu tahu tak bagaimana artikel ini mendapatkan maklumat untuk diterbitkan di laman web?

Rosli: Saya tidak bertanya pun.

Harvinderjit: Kalau kamu mendapat maklumat terdapat kebocoran maklumat dalam siasatan kamu, adakah kamu akan siasat?

Rosli: Kalau terdapat kebocoran daripada kertas siasatan saya, ya, saya akan siasat.

Harvinderjit: Sebelum siasatan pihak SPRM bermula, adakah kamu setuju dokumen transaksi bank ini boleh didapati dari tempat lain selain daripada bank?

Artikel Berkaitan:

Rosli: Ya, saya setuju.

Harvinderjit: Pihak SPRM ada membuat serbuan ke AmIslamic Bank ketika siasatan dijalankan. Ini bermakna sebelum pasukan kamu pergi ke sana untuk mendapatkan dokumen, sudah ada maklumat dibocorkan (kepada Sarawak Report).

Rosli: Berdasarkan keadaan begini, anggapan itu betul.

Harvinderjit: Kamu tahu siapa dalam AmIslamic Bank yang membocorkan maklumat ini?

Rosli: Oh, saya tidak tahu.

Ditanya lanjut sekiranya situasi itu adalah tidak penting bagi pihak SPRM untuk disiasat, saksi itu berkata itu tertakluk di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beliau hanya fokus kepada siasatannya.

Katanya, pihaknya juga tidak dapat memastikan sekiranya terdapat manipulasi dalam dokumen-dokumen bank tersebut sebelum serbuan SPRM di AmIslamic Bank pada 6 Julai 2015.

Rosli juga berkata, secara keseluruhan sebanyak 193 saksi telah dipanggil untuk direkodkan keterangan sepanjang siasatan kes itu.

"Kebanyakan saksi utama perbicaraan seperti bekas Setiausaha Akhbar Najib, Wong Nai Chee; Pengurus Ambank Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan, Datuk Azian Mohd Nor; dan Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dirakam percakapan mereka pada 2015.

Beliau berkata kebanyakan rakaman percakapan direkodkan sebanyak sekali atau dua kali sebelum mereka dipanggil semula untuk penyediaan penyataan saksi bagi tujuan perbicaraan.

Katanya, rakaman percakapan bekas pegawai perhubungan (relationship manager) Ambank Joanna Yu Ging Ping yang mengendalikan tiga akaun Najib, direkodkan sebanyak enam kali antara Ogos 2015 hingga Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis.- Bernama