Kedah perintis program TVET-Tahfiz

Mahfuz (tengah) bersama sebahagian anak Parlimen Pokok Sena yang menerima sumbangan melanjutkan pengajian ke IPT di Pekan Langgar semalam.
Mahfuz (tengah) bersama sebahagian anak Parlimen Pokok Sena yang menerima sumbangan melanjutkan pengajian ke IPT di Pekan Langgar semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah bakal menjadi negeri perintis Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)-Tahfiz yang akan diperkenalkan bagi membantu meningkatkan ilmu kemahiran pelajar tahfiz.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia juga antara usaha kementerian itu untuk mengurangkan kebergantungan menggaji pekerja berdasarkan sijil akademik semata-mata.

Menurutnya, program itu kelak bakal melengkapkan pelajar dengan dua bidang pendidikan sekaligus, iaitu tahfiz dan kemahiran agar pelajar mempunyai nilai tambah dalam mencari pekerjaan.

“Ia masih di peringkat perbincangan awal dengan kerajaan negeri. Kerjasama ini melibatkan yayasan pendidikan bawah Pejabat Menteri Besar Kedah dengan agensi seperti Jabatan Tenaga Manusia dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) untuk bantu pelajar tahfiz dan sekolah pondok diberikan latihan kemahiran,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 300 anak Parlimen Pokok Sena yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) semalam.

Mahfuz berkata, pusat tahfiz yang berminat akan dibantu agar pelajarnya tidak tercicir daripada arus pemodenan khususnya dalam pendidikan.

“Kita mulakan di Kedah, seterusnya diperluas ke negeri lain meliputi lebih 1,500 pusat tahfiz berdaftar di negara ini. Kita juga akan melihat keperluan libatkan institusi TVET awam atau swasta yang berminat mengadakan kelas khas TVET-Tahfiz,” katanya.

Menurutnya, konsep pembelajaran itu bukan baharu kerana terdapat beberapa pusat mengambil inisiatif sendiri menganjurkan program seumpama.

“Di ILP Jitra diadakan sistem modular inisiatif bersama pusat tahfiz, anjur kelas ketika cuti sekolah atau hujung minggu dan diajar kemahiran dalam tempoh tertentu. Peserta diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua selepas tamat kursus,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sebuah institusi TVET di Klang, Selangor turut mengambil pendekatan sama dengan menawarkan kursus berkaitan robotik kepada pelajar tahfiz.

“Selain akademik, bidang TVET tawarkan latihan kemahiran sebagai jaminan memperoleh pekerjaan dalam sektor awam atau swasta, atau berpeluang menjadi usahawan,” katanya.

Mahfuz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun yang melahirkan kebimbangan dengan gejala miskin bandar yang membelenggu warga kota, selain menyifatkan ia lebih serius berbanding kemiskinan di kampung.

Rina berharap lebih banyak peluang pekerjaan dicipta untuk golongan muda di kampung bagi mengurangkan penghijrahan anak muda ke bandar mencari rezeki, namun akhirnya terperangkap dengan kemiskinan bandar.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, kemiskinan tidak boleh diatasi hanya dengan menawarkan peluang kerja, sebaliknya harus diterapkan dengan pembinaan minda.

“Masalah sekarang adalah mereka berhijrah ke bandar tanpa ada persiapan rapi, tiada ilmu lain selain minda masih di tahap lama. Apabila menjadi gelandangan di bandar, ia menjadi masalah kepada negara.

"Kita hendaklah bentuk minda anak muda agar bijak berdepan pelbagai situasi,” katanya.