Sistem urus tadbir Zakat Kedah tarik minat Uganda

Syeikh Zakaria (kanan) menunjukkan Pusat Kemahiran Jahitan Zakat Kedah kepada Namungo (tengah) di Menara Zakat Negeri Kedah baru-baru ini.
Syeikh Zakaria (kanan) menunjukkan Pusat Kemahiran Jahitan Zakat Kedah kepada Namungo (tengah) di Menara Zakat Negeri Kedah baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah institusi zakat luar negara, House of Zakat and Waqf Uganda meluahkan minat untuk mempelajari sistem urus tadbir zakat Kedah.

Ketua Bahagian Penyelidikan dan Latihan House of Zakat and Waqf Uganda, Namungo Hamzah Kasujja berkata, pihaknya berhasrat untuk mengambil sistem urus tadbir zakat Kedah sebagai penanda aras untuk diaplikasikan di institusi zakat mereka di Uganda.

Menurutnya, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah membuktikan bahawa Malaysia juga mampu berdiri sama teguh dari segi urus tadbir antara institusi-institusi zakat seluruh dunia.

"Saya teruja apabila diberi peluang untuk melihat sistem kutipan dan agihan yang telah dilaksanakan di LZNK, sekaligus memberi sokongan kepada Zakat Kedah.

"Malah saya berhasrat untuk mengadakan lawatan semula dalam masa terdekat bagi menjalinkan kerjasama lanjut terutama dalam perkara berkaitan sistem kutipan dan agihan zakat yang lebih efektif serta berkesan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut melahirkan rasa kagum atas penganjuran Persidangan Zakat Antarabangsa Kedah (KEIZAC) 2019 baru-baru ini.

Hampir 100 kertas kerja berkaitan zakat dibentangkan dalam persidangan yang dihadiri lebih 12 negara luar itu di Menara Zakat Alor Setar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, beliau bersyukur kerana penganjuran persidangan antarabangsa itu berjalan dengan lancar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, persidangan itu akan dianjurkan dua tahun sekali di negeri ini dalam usaha mencapai hasrat untuk menjadikan Kedah sebagai rujukan urus tadbir zakat yang diiktiraf semua pihak.