Najib tolak duit 'rasuah' dari tauke balak

Najib (tengah) membuat satu laporan di IPD Ipoh bagi meminta bantuan untuk memulangkan semula ‘sumbangan’ diterima daripada sebuah syarikat pembalakan.
Najib (tengah) membuat satu laporan di IPD Ipoh bagi meminta bantuan untuk memulangkan semula ‘sumbangan’ diterima daripada sebuah syarikat pembalakan.
A
A
A

IPOH - Seorang penduduk orang asli Pos Piah, Sungai Siput mendakwa dipaksa menerima wang sumbangan berjumlah RM1,150 daripada sebuah syarikat pembalakan pada 4 Ogos lalu.

Pengerusi Jaringan Orang Asli Pos Piah, Najib Alang berkata, dia terkejut apabila diberikan wang dalam satu pertemuan bersama penyelia dan tauke syarikat itu, kononnya sebagai duit belanja kepada penduduk Kampung Ketled.

"Mereka datang untuk berbincang bagi memajukan masyarakat orang asli seperti projek penanaman durian musang king sebelum diberikan wang tersebut.

"Mereka menyerahkan secara paksa walaupun saya menolak pemberian mereka. Kami takut untuk terima wang ini, mungkin dianggap rasuah. Dulu kami tidak pernah terima apa-apa bentuk sumbangan sejak ia mula beroperasi pada 2016," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini.

Menurutnya, penduduk meragui niat sebenar syarikat terbabit menghulurkan sumbangan itu.

"Satu laporan dibuat di IPD Sungai Siput pada 5 Ogos lalu untuk memulangkan semula wang kepada syarikat itu. Namun mereka menyarankan untuk selesaikan perkara ini di kampung.

"Laporan kedua dibuat hari ini untuk meminta bantuan polis bagi membantu dalam proses pemulangan kepada syarikat berkenaan sebab kami tidak mahu wang ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Lapangan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Shazni Bai berkata, pihaknya sedia membantu komuniti orang asli itu dalam menyerahkan wang tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kami harap dengan laporan ini, polis dapat membantu dari segi memudahkan proses pemulangan wang itu. Mereka memang tidak mahu duit itu," katanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

“Kita telah menerima laporan tersebut sekitar jam 11.19 pagi di Balai Polis Pusat Ipoh.

“Bagaimanapun Laporan tersebut telah dirujuk ke IPD Sungai Siput,” katanya.