Malaysia tidak sertai tiga acara pada Sukan SEA 2019

Norza Zakaria - Foto sumber internet
Norza Zakaria - Foto sumber internet
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan kontinjen negara tidak akan menyertai tiga acara iaitu jujitsu, soft tennis dan polo, pada Sukan SEA ke-30 di Filipina, November ini setelah mendapat pengesahan daripada ketiga-tiga persatuan berkenaan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, setakat ini, Malaysia sudah mengesahkan penyertaan dalam 51 daripada 56 acara pada Sukan SEA 2019.

Beliau, bagaimanapun, mendedahkan Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA masih belum menerima senarai nama atlet daripada tiga persatuan sukan iaitu kayak, petanque dan hoki ais.

Sehubungan itu, Mohamad Norza meminta ketiga-tiga persatuan sukan berkenaan untuk segera menghantar nama atlet sebelum tarikh akhir pada 2 Sept ini, atau penyertaan atlet mereka bakal ditolak Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC), katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga OCM kali ke-15 bagi sesi 2018-2021 di Wisma OCM, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai nasib dua sukan tempur iaitu Kurash dan Sambo, Mohamad Norza memaklumkan penyertaan atlet dua sukan berkenaan masih dinilai Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA berhubung prospek untuk meraih pingat pada Sukan SEA 2019 nanti.

Dalam pada itu, Mohamad Norza memaklumkan nasib skuad bola sepak wanita sama ada diletakkan dalam kategori A atau B, bergantung kepada keputusan diraih skuad kendalian Jacob Joseph itu pada Kejuaraan Wanita Persekutuan Bola Sepak ASEAN 2019, yang sedang berlangsung di Chonburi, Thailand.

Penyertaan atlet dalam kategori A bakal ditanggung sepenuhnya MOM, manakala kategori B pula dibahagikan kepada kepada dua bahagian.

Kategori B1 melibatkan ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), manakala B2 adalah bukan ahli gabungan MOM.

Artikel Berkaitan:

Menerusi kategori B1, persatuan sukan terlibat perlu mendahulukan perbelanjaan atlet masing masing, dan MOM akan membayar semula wang pendahuluan berkenaan sekiranya atlet itu meraih pingat.

Kategori B2 pula bermakna persatuan sukan berkenaan perlu menanggung sepenuhnya perbelanjaan atlet masing-masing, dan MOM tidak akan membayar wang pendahuluan sekiranya atlet berkenaan meraih pingat.

"Senarai akhir atlet negara ke Sukan SEA akan dimaklumkan pada 2 Sept ini,” jelas Mohamad Norza.

Sukan SEA 2019 dijadualkan berlangsung dari 30 Nov sehingga 11 Dis ini, dengan melibatkan 56 jenis acara di tiga kluster iaitu Manila, Subic dan Clark. - Bernama