UMNO Selangor tidak akan sisih parti komponen BN

Mat Nadzari (dua dari kiri) menjawab soalan pemberita sewaktu sidang media yang berlangsung di Bangunan UMNO Selangor hari ini.
Mat Nadzari (dua dari kiri) menjawab soalan pemberita sewaktu sidang media yang berlangsung di Bangunan UMNO Selangor hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Selangor menegaskan bahawa parti itu tidak akan meminggirkan mana-mana parti komponen BN selepas menjalinkan kerjasama dengan Pas.

Pengerusinya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, menerusi perjumpaan beliau bersama pimpinan MCA dan MIC semalam, pihak berkenaan memahami matlamat yang ingin dicapai menerusi kerjasama antara dua parti tersebut.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu juga pihaknya turut membincangkan mengenai kekangan yang bakal dihadapi dalam usaha untuk meneruskan kerjasama antara Pas dan UMNO selepas ini.

"Kita tak mahu (kerjasama ini) disalah tafsir oleh ahli-ahli (komponen) masing-masing. Usaha kita adalah untuk berbalik semula kepada formula sebelum kemerdekaan di mana apabila Melayu kuat, maka kita akan turut bawa bersama bangsa-bangsa lain di negara ini.

"Walaupun kombinasi ini nampak seolah-olah Pas-UMNO sahaja, tapi ini bukan bermakna parti komponen lain akan disisihkan kerana MIC dan MCA sentiasa bersama kami," katanya ketika sidang media yang berlangsung di Bangunan UMNO Selangor hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan terkini UMNO Selangor, Mat Nadzari berkata, bagi memantapkan gerak kerja antara kedua parti, pihaknya akan menubuhkan sekretariat bersama di enam zon melibatkan beberapa kawasan dengan dianggotai 11 ahli UMNO dan 11 daripada Pas.

Beliau berkata, UMNO Selangor juga akan menggerakkan 10,000 ahlinya untuk bersama-sama sewaktu majlis menandatangani memorandum persefahaman kerjasama antara UMNO dan Pas peringkat nasional yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September ini.

"Bagi UMNO Selangor pula, kita tidak akan tunggu lama untuk ambil tanggungjawab bagi memulakan kerjasama ini di mana pada 24 September, kita akan adakan ceramah perdana siri pertama bersama Pas di Shah Alam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika mengulas mengenai dakwaan kononnya perpaduan dalam kalangan ahli UMNO semakin kucar-kacir, Mat Nadzari menafikan perkara itu dan memaklumkan parti itu berada dalam keadaan sangat baik.

Tambah beliau, keadaan pimpinan di bahagian juga berfungsi dengan begitu baik dan turut mendapat sokongan padu daripada peringkat akar umbi.