Kemalangan bas berlaku tahun lepas, bukan tahun ini: TH

fb
fb
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan penularan maklumat mendakwa jemaah haji di Malaysia terlibat dalam kemalangan bas di Makkah, Arab Saudi.

Menerusi laman Facebook rasminya, TH menjelaskan insiden itu berlaku pada tahun lepas dan bukan baru-baru ini seperti yang ditularkan.

“Untuk makluman, terdapat penularan maklumat berkaitan insiden yang berlaku di Makkah. Insiden itu berlaku pada musim haji tahun lalu iaitu 2018.

“Sebarang kemusykilan dan pertanyaan sila hubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-62071919,” tulis TH dalam laman Facebooknya.

Dalam pada itu, laman Facebook rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof turut berkongsi maklumat sama.

“Hari ini kembali tular di media sosial kemalangan melibatkan jemaah Haji Maktab 81. Berita ini merupakan kemalangan yang telah berlaku pada 2018.

“Diharapkan mana-mana individu yang mendapat mesej berkaitan berita ini tidak perlu menyebarkannya,” katanya.

Pada 24 Ogos tahun lepas, seramai sembilan jemaah Malaysia iaitu tiga lelaki dan enam wanita mengalami cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua bas yang membawa jemaah haji Malaysia ke Makkah dari Mina.

Artikel Berkaitan:

Mujahid berkata, kemalangan tersebut berlaku kira-kira jam 8.40 pagi waktu tempatan semasa bas jemaah Malaysia dalam perjalanan pulang ke Makkah selepas melakukan nafar awwal.

"Kira-kira jam 8.40 pagi, bilik gerakan TH telah menerima laporan mengenai kemalangan tersebut dan menghantar pasukan kecemasan terdiri daripada petugas perubatan dan kebajikan bersama pihak muassasah Asia Tenggara untuk meninjau serta memberi pertolongan.

"Keadaan jalan ketika itu sangat sesak kerana kebanyakan jemaah haji dari seluruh dunia melakukan nafar awwal dan pulang ke Makkah pada hari yang sama," katanya.

Sejurus memberikan bantuan kepada jemaah haji tersebut, Mujahid berkata, pihak muassasah menghantar dua bas gantian untuk jemaah haji Malaysia meneruskan perjalanan pulang ke hotel penginapan mereka.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak muassasah Asia Tenggara yang telah memberi kerjasama yang tinggi dalam memastikan jemaah kita selamat sampai ke pusat penginapan mereka," katanya.