LZS buat laporan polis lelaki serang pegawai

Lembaga Zakat Selangor membuat laporan polis terhadap seorang lelaki yang bertindak menyerang kakitangan di Cawangan Zakat Selangor Klang Sentral dalam kejadian Khamis lalu.
A
A

KLANG - Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuat laporan polis terhadap seorang lelaki yang bertindak menyerang kakitangan di Cawangan Zakat Selangor Klang Sentral, Khamis lalu.

LZS menerusi satu kenyataan berkata, laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Kapar, Sabtu lalu.

Menurut kenyataan itu, seorang lelaki yang merupakan asnaf dan penerima pelbagai bantuan zakat ke cawangan tersebut untuk membuat semakan status permohonan rakannya yang turut berada di lokasi ketika kejadian.

“Namun lelaki itu bertindak agresif dan mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba melakukan serangan fizikal kepada kakitangan Zakat Selangor.

“Rentetan kejadian, laporan polis dibuat untuk keselamatan kakitangan dan pelanggan yang berurusan di cawangan zakat berkenaan,” kata kenyataan itu.

LZS dalam pada itu turut menafikan tuduhan berunsur fitnah yang ditularkan lelaki terbabit menerusi video dirakam ketika kejadian.

Menurut kenyataan itu, LZS menyerahkan kes tersebut kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Kami mohon orang ramai supaya tidak sebarkan maklumat tidak tepat dan merujuk terus kepada LZS untuk sebarang penjelasan.

“LZS tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang bagi menjaga nama baik institusi zakat,” katanya.