SPRM tak pernah soal siasat pengasas Sarawak Report

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menyoal siasat pengasas dan pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle Brown berhubung artikel bertajuk 'Najib Razak's Personal Accounts Linked To 1MDB Money Trail Malaysia Exclusive' yang diterbitkan pada 2015.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain, 54, berkata sepanjang mengendalikan kes SRC International Sdn Bhd, beliau tidak pernah berjumpa Rewcastle Brown atau mengarahkan mana-mana pegawai untuk bertemu dengannya.

"Saya juga tidak menyiasat bagaimana beliau boleh mengeluarkan artikel berkenaan pada 2 Julai 2015," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh pada hari ke-55 perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Rosli selaku pegawai penyiasat kes SRC berkata, siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan laporan yang diperoleh daripada Penolong Pesuruhjaya SPRM Bahagian Forensik Perakaunan, Prem Raj bertarikh 6 Julai 2015.

"Siasatan dibuat berdasarkan maklumat yang disiarkan di internet menerusi artikel bertarikh 2 Julai 2015 dalam laman web Sarawak Report," katanya sambil menambah beliau dilantik sebagai pegawai penyiasat kes itu pada 6 Julai 2015.

Harvinderjit: Artikel Sarawak Report bertarikh 2 Julai 2015 antara punca report bernombor 25/2015 dibuat dan Rosli menjawab "Ya".

Saksi pendakwaan ke-57 itu bagaimanapun menafikan bahawa salinan artikel di dalam Wall Street Journal menjadi antara punca kertas siasatan kes SRC dibuka.

"Artikel yang diberi kepada saya adalah yang tadi (Sarawak Report) bukan yang ini (Wall Street Journal). Saya tidak pernah lihat atau ditunjukkan artikel itu kepada saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Rosli sebaik menerima laporan daripada Prem, kertas siasatan dibuka bagi menyiasat kesalahan yang disyaki di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, kertas siasatan kes SRC diedarkan kepada Pejabat Pendakwa Raya pada 31 Disember 2015 dan sekali lagi diedarkan semula kepada pihak sama pada 12 Jun 2018.

Rosli juga berkata, secara kesuruhan 193 saksi telah dipanggil untuk direkodkan keterangan sepanjang siasatan kes itu.

"Rakaman percakapan terakhir direkodkan daripada pegawai Bank Negara Malaysia iaitu Suzairizman Shuib pada Mei 2019," katanya.

Terdahulu, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim, saksi itu berkata pihaknya tidak menerima apa-apa dokumen daripada pihak pembelaan menyatakan tandatangan tertuduh dalam dokumen-dokumen yang digunakan dalam perbicaraan itu bukanlah tandatangannya atau dipalsukan.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis. - Bernama