Keresahan orang Melayu tidak boleh dijawab UMNO

Annuar Musa - Foto Rosli Talib
A
A

SHAH ALAM - Keresahan orang Melayu Islam berhubung masa depan agama itu sama ada dapat dijaga dengan baik atau tidak, tidak boleh dijawab oleh UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebaliknya perkara tersebut perlu ditanya sendiri kepada Melayu, adakah mereka rasa lebih baik, lebih selamat, lebih mendapat tempat dan terjamin masa depan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Bagi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau merupakan seorang yang pragmatik. Kenyataannya sentiasa berbeza-beza setiap masa dengan pusingan U.

"Akhirnya saya tak tahu dia ikut mana satu kerana berubah setiap masa. UMNO tidak boleh jawab tetapi orang Melayu, adakah mereka rasa lebih baik sekarang ini?" katanya pada siri Wacana Sinar Harian Ke-120 Melayu Islam Pasca PRU15, di sini hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada parti Melayu mempunyai 13 kerusi dalam pentadbiran kerajaan hari ini boleh memberi yang terbaik kepada Melayu Islam.

"Kalau tanya pada saya mengenai PRU14, ada 2.5 juta pengundi UMNO yang majoritinya ialah Melayu. Begitu juga 2 juta undi diberikan kepada Pas dan keseluruhannya ialah 4 juta pengundi.

"Mahu atau tidak, UMNO dan Pas mewakili lebih 4 juta pengundi melalui penyatuan ummah. Kita mempunyai wibawa untuk menyuarakan suara orang Melayu Islam di negara ini," katanya.

Menurut Annuar, nasib pendakwah Islam pada masa ini ditekan kerajaan.

"Tanya penoreh getah, adakah mereka dapat tawaran lebih baik? Tanya pegawai kerajaan, tanya pesawah, askar Melayu.

"Dr Mahathir kata isu Islam diada-adakan pihak pembangkang yang kalah. Mahu harapkan pihak menang ini apa yang mereka boleh lakukan?" katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia