Cemas gajah keliling rumah!

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GUA MUSANG - Sekeluarga tujuh beranak orang asli di Kampung Aring 5 di sini cemas apabila seekor gajah jantan liar memasuki kawasan kampung dan mengelilingi rumah mereka awal pagi ini.

Gajah liar itu yang dipercayai dari hutan berhampiran telah menghampiri rumah keluarga itu pada kira-kira jam 6 pagi dan mengelilinginya beberapa kali sebelum beredar ke hutan berhampiran sejam kemudian.

Penduduk orang asli itu, Hussin Selik, 51, berkata kejadian gajah liar memasuki kampung itu adalah kali kedua sejak dua minggu lepas tetapi sebelum ini ia hanya memusnahkan tanaman pisang dan anak pokok getah sahaja.

Beliau berkata, gajah itu dipercayai telah memasuki kampung itu seawal jam 3 pagi dan mencemaskan keluarganya apabila ia beberapa kali mengelilingi rumah mereka sebelum beredar.

"Kami terdengar gajah itu menjerit lalu menjenguk melalui tingkap dan ternampak ada seekor gajah sehinga kami ketakutan tetapi bernasib baik gajah terbabit kemudiannya beredar selepas keliling rumah," katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Hussin berkata, sebaik gajah itu beredar, dia mendapati 50 pokok pisang yang diusahakannya bersama jiran yang lain habis dirosakkan gajah itu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) Kampung Aring 5, Asrul Hussin, 31, berkata masalah ancaman gajah liar di kampung itu bukan perkara baru.

Malah, kata beliau, kejadian itu sudah beberapa kali berlaku tahun ini termasuk terbaru pada 8 Ogos lepas dan awal pagi tadi hingga suasana kehidupan penduduk tidak tenteram serta dalam ketakutan setiap masa.

Artikel Berkaitan:

"Selepas perkara itu dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah baru-baru ini, ada siasatan dilakukan tetapi belum ada tindakan menghalau gajah tersebut," katanya. - Bernama