Yew Yin perlu dihukum

Zamri (tengah) bersama rakan-rakannya membuat laporan polis di IPD Pasir Mas berhubung kenyataan Yew Yin yang menghina anggota ATM.
Zamri (tengah) bersama rakan-rakannya membuat laporan polis di IPD Pasir Mas berhubung kenyataan Yew Yin yang menghina anggota ATM.
A
A
A

PASIR MAS - Ahli perniagaan, Koon Yew Yin 'wajib' dikenakan hukuman meskipun sudah membuat permohonan maaf secara terbuka selepas bertindak celupar menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam blognya yang mengatakan anggota pasukan itu hanya makan dan tidur.

Pengerusi Pasukan Khas ATM Cawangan Pasir Mas, Komander Bersara Zamri Hussin berkata, pihaknya bimbang jika tindakan tegas tidak diambil perkara itu akan terus berulang pada masa hadapan.

"Bila ada tindakan ke atas Yew Yin, sekurang-kurangnya individu yang mahu membuat kenyataan 'kurang cerdik' akan berfikir dengan waras sebelum berbuat demikian," katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Zamri bersama beberapa rakannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas berhubung kenyataan Yew Yin yang menghina anggota ATM.

Menurutnya, permohonan maaf Yew Yin itu belum cukup kerana ia melukakan hati seluruh anggota termasuklah pesara ATM.

"Anggota ATM bukan sahaja memerah keringat malah sanggup menggadaikan nyawa bagi memastikan keamanan negara berada pada tahap terbaik.

"Nikmat kemerdekaan dikecapi pada hari ini yang membolehkan semua masyarakat tidur lena dan membina kerjaya adalah hasil pengorbanan perajurit terdahulu," katanya.

Zamri berkata, pengorbanan yang dicurahkan itu tidak terhitung nilainya buat generasi merdeka pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Jadi laporan polis hari ini sebagai sokongan kepada bekas tentera dan anggota yang masih bertugas bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan tegas kepada ahli perniagaan itu," katanya.

Yew Yin sebelum ini menerusi entri blognya menulis pasukan itu hanya makan dan tidur selain tidak pernah melepaskan sebarang tembakan kecuali di lapangan sasar.