Kontraktor Bumiputera Kelas F ditindas?

PERKOBF Johor membuat bantahan terhadap pengumuman kerajaan baru-baru ini.
PERKOBF Johor membuat bantahan terhadap pengumuman kerajaan baru-baru ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Johor menzahirkan rasa terkejut dan kecewa atas pengumuman kerajaan membuka semula pendaftaran kontraktor F atau G1 (Bumiputera) selepas dibekukan, baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Zahrul-lail Ab Moez berkata, pihaknya merasakan keputusan itu dibuat secara tergesa-gesa dan tidak prihatin terhadap nasib kontraktor kelas F atau G1 sedia ada.

"Pengumuman kerajaan sangat mengecewakan hampir 26,000 kontraktor kelas F atau G1 seluruh negara amnya dan hampir 3,000 kontraktor di Johor.

"Dengan hanya sekali pertemuan libat urus bersama PERKOBF Malaysia pada April lalu, tanpa mengambil kira keluhan dan masalah dikemukakan PERKOBF, satu keputusan berat sebelah telah dibuat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, PERKOBF seluruh negara secara sepakat menolak keputusan tersebut dan beranggapan ia adalah memenuhi desakan pemimpin-pemimpin parti kerajaan peringkat rendah untuk terlibat sama dalam industri pembinaan.

"Ini dibuat sebagai satu imbuhan politik kepada penyokong-penyokong mereka," katanya.

Tambahnya, sebahagian besar kemenangan kerajaan PH pada PRU14 adalah sumbangan lebih 100,000 undi daripada kontraktor kelas F atau G1 dan ahli keluarga.

"Bila sudah mengecapi kemenangan dan kemasyhuran, kontraktor kecil ditindas dan ditekan. Kerajaan lebih menumpu kepada manfaat ahli-ahli parti kerajaan berbanding melunaskan janji-janji manifesto.

Artikel Berkaitan:

"Benarlah apa yang berlaku sekarang, kontraktor Bumiputera umpama melukut di tepi gantang dan mengemis di bumi sendiri," katanya.

Zahrul-lail berkata, PERKOBF akan menerima pembukaan pendaftaran baharu jika masalah utama yang membelenggu golongan itu dapat diatasi.

"Seperti menghapuskan konsesi secara menyeluruh di seluruh negara, menaikkan had nilai kerja kontraktor, melaksanakan arahan kontraktor berdaftar sahaja dibenarkan buat kerja ubahsuai rumah persendirian.

"Selain itu, menghapuskan campur tangan politik dalam pengagihan kerja, membersihkan senarai kontraktor sedia ada yang tidak aktif, Ali Baba dan dimiliki kakitangan kerajaan," katanya.

Menurutnya lagi, PERKOBF juga memberi cadangan agar jumlah kontraktor kelas F dihadkan jumlah siling, contohnya sehingga 30,000 kontraktor seluruh negara berbanding 26,000 orang ketika ini.

"PERKOBF beranggapan alasan kerajaan menjustifikasi pembukaan semula pendaftaran ini kerana ramai kontraktor kelas F telah melebihi 20 tahun usia perkhidmatan, suatu yang pelik dan tidak seiring konsep perniagaan.

"Kontraktor kelas F umpama kedai runcit yang dipaksa naik membuka pasar raya. Ia sudah tentu akan mendatangkan malapetaka besar kepada syarikat-syarikat kecil yang dipaksa secara zalim meningkat kepada kontraktor besar tanpa mengambil kira dari segi kemampuan modal, kemampuan teknikal, kemampuan runding cara dan pelbagai lagi," katanya.