Kolej Komuniti Pahang lahir graduan kebolehpasaran tinggi

Dr Mohd Rashahidi menyampaikan cenderahati kepada Pemangku Raja Pahang,Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Pahang di Bukit Gambang Resort di sini hari ini.
A
A

KUANTAN - Pelajar lepasan Kolej Komuniti Pahang mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi di negeri ini.

Pengarah Kanan Kompetensi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Rashahidi Mohamood berkata, berdasarkan rekod tahun lalu, 95.4 peratus pelajar keluaran Kolej Komuniti menjadi pilihan pihak industri.

Menurutnya, rekod itu menunjukkan kejayaan yang amat membanggakan dan menunjukkan komitmen, kesungguhan serta kerjasama berterusan daripada warga Kolej komuniti.

“Justeru, pihak kementerian akan berusaha untuk meletakkan Kolej Komuniti ini sebagai sebuah institusi pendidikan dan latihan teknikal serta Vokasional (TVET) yang relevan dalam memainkan peranan penting melahirkan tenaga mahir dan separa mahir ke arah negara maju berpendapatan tinggi.

“Kita juga akan menyediakan program pengajian yang relevan dan responsif di mana ia dibangunkan bersama pihak industri serta mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Qualification Agensi (MQA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Pahang 2019 di Bukit Gambang Resort City di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al -Sultan Abdullah.

Turut hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengarah Kanan Kompetensi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Rashahidi Mohamood.

Seramai 1,226 graduan daripada 10 Kolej Komuniti seluruh Pahang berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma dan sijil diraikan dalam majlis itu.

Dalam pada itu, Dr Mohd Rashahidi berkata, Kolej Komuniti Pahang perlu sentiasa bergerak ke arah yang lebih kompetitif dan ia terbukti dengan beberapa kejayaan dicapai dalam pelbagai pertandingan kemahiran, inovasi, keusahawanan, kolaborasi, sukan dan sebagainya di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Selain itu, beliau juga mengingatkan kepada graduan supaya terus bersedia mempelajari ilmu dan perkara baharu dalam memantapkan ilmu kemahiran sedia ada.

“ini akan dapat memberi keyakinan tinggi dalam diri graduan untuk bersedia menghadapi alam kerjaya dan berdepan dengan perkembangan revolusi Industri 4.0,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia