Henti musuhi Zakir Naik, pesan mufti

Wan Salim. - Foto Bernama
Wan Salim. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Golongan yang memandang serong terhadap pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik perlu berhenti menuduh beliau sebagai ekstremis, penyebar fitnah serta sebagainya.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Zakir sebenarnya seorang yang amat terbuka dan sanggup berdialog dengan sesiapa sahaja secara ilmiah serta rasional.

Menurutnya, dengan penguasaan beliau yang hebat dalam bidang ilmu perbandingan agama dan kecekapannya berhujah dengan amat cemerlang untuk menyokong kebenaran Islam menyebabkan beliau dimusuhi mereka yang tidak mampu berdepan dengannya.

"Semua pihak mesti berbaik sangka terhadap usaha dakwah yang bertujuan memberi pencerahan mengenai prinsip-prinsip akidah (kepercayaan) dan amalan yang terkandung dalam ajaran agama Islam di samping berusaha menyingkirkan perasaan fobia atau prasangka terhadapnya.

"Kita juga perlu tahu bahawa Islam tidak memaksa sesiapa pun untuk menerima ajarannya," katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Dr Wan Salim berkata, sesiapa yang mengkaji agama ini tahu tanpa keraguan bahawa salah satu prinsip yang dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis adalah tiada paksaan dalam menganut agama ini.

Katanya, cuma satu perkara yang perlu diketahui semua orang adalah menyeru manusia kepada agama Islam adalah diwajibkan ke atas umat Islam.

"Ini disebabkan keyakinan bahawa Islam adalah agama yang sebenar datangnya daripada ALLAH SWT yang mencipta manusia dan seluruh alam semesta.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan keyakinan kosong yang lahir daripada perasaan taksub membabi buta, tetapi berdasarkan kepada fakta-fakta sejarah dan saintifik yang kuat, di samping bersandar kepada teks agama (Islam) yang tiada keraguan lagi tentang kesahihannya," katanya.