Curi kelapa beli dadah!

Chee Khoon (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam di sini.
Chee Khoon (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam di sini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kegiatan seorang lelaki mencuri kelapa untuk membeli dadah terbongkar selepas dicekup pemilik kebun bersama anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sebuah kebun kelapa di Kampung Tebuk Mufrad di sini semalam.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu berlaku ketika suspek berusia 34 tahun baharu selesai mengait dan memikul kelapa dalam guni dipercayai ingin memasukkan ke dalam bonet kereta.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, suspek yang masih bujang itu sebelumnya memasukkan beberapa kelapa curi di dalam bonet belakang kenderaan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan pemilik kebun dan anggota KRT menemui sebanyak 30 biji kelapa keseluruhan serta pengorek kelapa dengan nilai kerugian RM500," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Chee Khoon berkata, pemilik kebun terbabit kemudiannya menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

"Polis yang menerima aduan itu tiba di tempat kejadian jam 4 petang dan mencekup mangsa yang mengaku mencuri kelapa berkenaan.

"Polis merampas sebatang besi pengorek kelapa, anak kunci kereta, kelapa curi dan sebuah kereta Proton Iswara," katanya.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, suspek yang memiliki enam rekod lampau jenayah dan narkotik dipercayai menjalankan kegiatan menjual kelapa curi sekitar daerah Sabak Bernam sejak setahun lalu

Artikel Berkaitan:

"Suspek dipercayai melakukan modus operandi mencuri buah kelapa di kebun dan menjual kelapa dengan harga RM1 sebiji dengan memandu sebuah kereta miliknya yang dirampas dalam kejadian itu," katanya.

Katanya, sehingga kini suspek ditahan reman untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.