'Jangan serah masa depan negara kepada ekstremis kaum, agama'

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak menyerahkan masa depan negara kepada ekstremis kaum dan agama.

Menurut baginda, setiap kaum perlu menghargai dan menghormati di antara satu sama lain.

"Setelah 62 tahun mencapai kemerdekaan, suara perpaduan yang menyatukan warga dan suara kesederhanaan yang merangkum warga, jangan sama sekali dibenarkan untuk dirampas oleh mana-mana pihak kerana tujuan politik sempit jangka pendek.

"Masa hadapan rakyat dan negara tidak harus diserahkan kepada kumpulan yang membawa fahaman ekstremis kaum, ekstremis agama," titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Konvokesyen ke-48 Politeknik Ungku Omar (PUO) di Dewan Jubli Perak Politeknik Ungku Omar di sini hari ini.

Hadir mengiringi baginda Exco Perak, Asmuni Awi; Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohammad Naim Yaakub dan Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr Zairon Mustapha.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, kejayaan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat merupakan kunci kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi di negara ini.

Baginda turut mengingatkan generasi muda supaya memahami dan menghayati keperluan perpaduan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Anak muda hendaklah memahami dan menghayati pentingnya faktor perpaduan, dan pentingnya setiap kaum menghargai dan menghormati kehadiran masing-masing, dan pentingnya mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menggores perasaan, menidakkan hak sesuatu kaum atau melanggar perkara-perkara asas yang telah dipersetujui semasa penggubalan Perlembagaan Merdeka.

"Tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara merdeka ini, adalah tanggungjawab setiap warga, demi menjamin negara ini kekal aman, rukun, makmur dan sejahtera," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, perpaduan itu dibentuk hasil tanggungjawab yang dijalankan penuh amanah oleh pemimpin terdahulu yang amat menyedari kepentingan memastikan rakyat yang berbilang kaum, bahasa, budaya dan agama ini, hidup harmoni demi kelangsungan sebuah negara merdeka.

Menurut baginda, prinsip dan falsafah politik yang dibawa oleh Bapa Kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan barisan pemimpin yang seangkatan ketika merintis tuntutan kemerdekaan ialah politik yang berteraskan semangat merangkumi.

Baginda bertitah, perkara tersebut telah memberikan kemenangan politik kepada Tunku Abdul Rahman sehingga mendapat sokongan daripada penduduk pelbagai kaum dan agama.

Titah baginda, semangat merangkumi itu berjaya menyatupadukan warga di negara ini sehingga berjaya menewaskan ancaman Parti Komunis Malaya, mengatasi ancaman Indonesia semasa berlakunya konfrontasi, merawat luka akibat peristiwa 13 Mei dan mengharungi pelbagai krisis ekonomi yang berlaku.