Polis kesan lelaki tampar pelayan bar

Insiden lelaki menampar pelayan bar itu tular di media sosial sejak kelmarin.
A
A

SUBANG JAYA - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang menampar pelayan sebuah bar di USJ Sentral 3 di sini Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya juga mengesan pelayan bar berkenaan yang menghilangkan diri selepas insiden pada jam 1 pagi itu berlaku.

Kejadian terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis dan tular di media sosial sejak kelmarin.

Menerusi video berdurasi 2.55 minit itu, lima pelanggan dirakam berada dalam bar berkenaan.

Pelayan lelaki terbabit dirakam bercakap dengan dua lelaki sebelum seorang daripadanya bertindak menampar mangsa.

Insiden tidak berhenti di situ, suspek kemudian menampar mangsa sebanyak beberapa kali dan turut menunjal muka serta menarik tangan pelayan bar terbabit.

Selepas itu, suspek dilihat kembali ke mejanya dan bercakap sesuatu dituju kepada mangsa serta seorang lagi pelayan bar yang berada di kaunter minuman.

Menurut Amihizam, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki berusia 51 tahun yang merupakan pemilik bar terbabit.

“Pemilik beritahu pelayan bar warga Pakistan itu ditampar sebanyak tujuh kali selepas memberitahu kepada pelanggan yang premis akan ditutup mengikut waktu operasi.

“Suspek turut mengugut pemilik dengan memberitahu dia akan membawa anggota penguat kuasa untuk menutup bar terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan.

Tambahnya, pemilik bar terbabit tidak pasti sama ada suspek adalah anggota penguatkuasa mana-mana agensi atau sebaliknya.

“Pelayan bar terbabit telah berhenti kerja tanpa pemberitahuan selepas kejadian tersebut. Polis sedang kesan suspek bagi siasatan kes ini,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia