190 sekolah rendah di Kashmir dibuka semula

Seorang pekerja membersihkan halaman sebuah sekolah di Srinagar. Sekolah masih lengang biarpun mula dibuka semula semalam.
Seorang pekerja membersihkan halaman sebuah sekolah di Srinagar. Sekolah masih lengang biarpun mula dibuka semula semalam.
A
A
A

SRINAGAR - Sebanyak 190 sekolah rendah dibuka semula di sekitar Kashmir semalam selepas dua minggu New Delhi menghapuskan status khas wilayah bergolak terbabit dan mengenakan perintah berkurung.

Bagaimanapun, kunjungan AFP ke beberapa lokasi mendapati hanya segelintir pelajar yang hadir susulan pertempuran hujung minggu lalu di Srinagar.

Kebanyakan jalan utama dan pasar juga masih lengang meskipun beberapa jalan lain kelihatan agak sibuk berbanding beberapa hari lalu.

"Kami tidak menerima notifikasi rasmi berkaitan pembukaan semula sekolah daripada kerajaan tempatan namun kami membuka sekolah selepas menonton berita," kata seorang pegawai kanan di Sekolah Burn Hall di Srinagar kepada AFP.

Namun, banyak sekolah masih ditutup dan pengawal keselamatan di pagar sekolah kelihatan mengarahkan guru dan kakitangan sekolah yang hadir untuk pulang.

"Saya tidak rasa ibu bapa akan menghantar anak mereka ke sekolah sekiranya tidak dapat berkomunikasi dan memeriksa keadaan mereka bila perlu," kata seorang penduduk kawasan Rajbagh, Srinagar kepada AFP.

"Saya datang selepas menonton berita semalam namun tidak kelihatan seperti pelajar akan hadir ke sekolah. Ramai guru yang tinggal jauh juga tidak hadir," kata salah seorang guru di sekolah tempatan. - AFP

Artikel Berkaitan: