Henti provokasi libat tulisan jawi: ABIM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa sebarang provokasi mengenai pelaksanaan pembelajaran pengenalan tulisan jawi di semua sekolah jenis kebangsaan iaitu SJKC (Cina) dan SJKT (Tamil) dihentikan serta-merta.

Penolong Setiausaha Agung, Zairudin Hashim berkata, insiden ini tidak boleh diterima memandangkan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan keputusan mesyuarat jemaah menteri telah membuka pilihan kepada sekolah-sekolah itu sama ada untuk melaksanakan atau tidak pengajaran tersebut bergantung kepada kebenaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Menurutnya, ABIM menilai provokasi sedemikian seakan-akan menggambarkan sikap pihak tertentu yang tidak menghargai keterbukaan untuk menyelesaikan polemik ini.

"Mengapakah bantahan dalam bentuk provokasi terbuka seperti itu perlu diteruskan?

"Apakah sebenarnya matlamat yang ingin dicapai di sebalik tindakan tersebut?," soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memandang berat laporan media mengenai insiden beberapa sekolah memaparkan kain rentang yang menolak pengajaran jawi tersebut.

Jelasnya, sebarang provokasi yang mengapi-apikan sentimen perkauman tidak akan menyelesaikan apa-apa polemik yang cuba dirungkai sejajar dengan semangat Malaysia Baharu.

"Kami tidak mahu semangat keterbukaan yang diperjuangkan pada era ini hanya akan dimanipulasikan untuk menyemarakkan kebencian di antara satu sama lain.

"Ia akan menenggelamkan semangat muhibah berasaskan kepada kepelbagaian dalam kesatuan yang diperjuangkan selama ini, selain turut menjadi asas kepada semangat kemerdekaan yang disambut setiap tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, kain rentang berkaitan isu tulisan jawi dan seni khat yang dipasang di beberapa sekolah di negeri ini tidak mendapat kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Selangor.

Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor, Muhamad Radzi Abdullah berkata, beliau berharap sekolah terlibat membincangkan isu itu setelah pekeliling berkaitan tulisan jawi dan khat dikeluarkan KPM.

ARTIKEL BERKAITAN: Tulisan jawi: Kain rentang tiada kebenaran Jabatan Pendidikan