Polis tahan gelandangan rosakkan barang surau

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang gelandangan yang dipercayai menceroboh dan merosakkan barang di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields di sini ditahan polis, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, tangkapan lelaki berusia 40 tahun itu dibuat kira-kira jam 6.30 petang di sekitar Taman Desa di sini.

"Dalam kejadian itu, satu laporan diterima daripada pihak surau tersebut kira-kira jam 10.15 pagi mengatakan surau berkenaan telah diceroboh dan terdapat barang-barang telah dirosakkan.

"Susulan itu, suspek ditangkap semalam dengan rampasan satu tukul besi dipercayai digunakan suspek dan pakaian dipakai semasa kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan rakaman kemera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang memakai kemeja T berwarna biru dan berseluar pendek warna merah menggunakan objek seperti besi lalu memecahkan beberapa peralatan dalam surau antaranya mimbar, jam dinding dan papan tanda Ahli Jawatankuasa Surau.

Katanya, jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM2,000.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah, selain memiliki beberapa rekod jenayah berkaitan dadah dan curi.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh menyalurkan ia dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.