10,000 lampu jenis LED dipasang di jalan-jalan kampung

Penggunaan lampu LED juga dapat menjimatkan penggunaan elektrik.
Penggunaan lampu LED juga dapat menjimatkan penggunaan elektrik.
A
A
A

HULU LANGAT- Kerajaan memperuntukkan lebih 10,000 lampu tenaga jenis diod pemancar cahaya (LED) di jalan-jalan kampung bermula dari tahun ini hingga tahun hadapan melalui inisiatif Incentive Based Regulation (IBR).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, ia selaras dengan komitmen bagi mencapai penjimatan penggunaan tenaga sebanyak lapan peratus menjelang tahun 2025.

"Sebanyak 10,000 lampu jenis LED akan dipasang di jalan-jalan kampung di bawah Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) secara berperingkat melalui syarikat utiliti Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Skop projek bagi program ini adalah membekal dan memasang set lampu di tiang sedia, di kawasan-kawasan umum serta di hadapan bangunan awam seperti balai raya, surau, rumah ibadat serta di persimpangan-persimpangan jalan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Pelancaran Pemasangan Lampu Jalan Kampung jenis LED dari Dana IBR bertempat di Kampung Rinching Hilir, Mukim Beranang, Hulu Langat di sini semalam.

Katanya, penggunaan lampu jenis LED yang lebih terang dan cerah ini juga diharap dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan rakyat yang menggunakan jalan-jalan kampung.

"Khususnya dari aspek mengurangkan kadar jenayah dan kemalangan jalan raya, selain dapat membantu menjana aktiviti ekonomi komuniti kampung.

Artikel Berkaitan:

Masyarakat tidak melepaskan peluang bergambar bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun pada Majlis Pelancaran Pemasangan Lampu Jalan Kampung jenis LED dari Dana IBR bertempat di Kampung Rinching Hilir, Mukim Beranang, Hulu Langat di sini semalam.
Masyarakat tidak melepaskan peluang bergambar bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun pada Majlis Pelancaran Pemasangan Lampu Jalan Kampung jenis LED dari Dana IBR bertempat di Kampung Rinching Hilir, Mukim Beranang, Hulu Langat di sini semalam.

"Pencahayaan yang baik adalah amat penting bagi menjamin kesejahteraan penduduk setempat selain dapat meningkatkan produktiviti terutama bagi gerai-gerai serta perniagaan kecil yang beroperasi sehingga waktu malam," katanya.

Menurutnya, penggunaan lampu LED juga dapat menjimatkan penggunaan elektrik.

"Di bawah program ini lampu jalan lampung sedia ada jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV) akan digantikan dengan lampu LED.

"Kementerian Pembangunan Luar Bandar memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi pelaksanaan Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung 2018," katanya.

Beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah membelanjakan lebih RM321 juta untuk pembiayaan lebih 445,044 unit lampu jalan kampung di seluruh negara bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK8) sehingga Rancangan Malaysia Ke-11(RMK11) Tahun 2019.

"Daripada jumlah ini, sejumlah 349,387 unit lampu jalan kampung telah dipasang di Semenanjung Malaysia, 50,801 unit di Sarawak, dan 44,856 unit di Sabah.

"Pada tahun ini, disebabkan permohonan lampu jalan kampung yang mendapat permintaan tinggi dari kampung-kampung, pihak Kementerian telah memanjangkan permohonan peruntukan kepada Perdana Menteri agar Kementerian dapat meneruskan program di seluruh Malaysia," katanya.

Jelasnya, dengan pengumuman ini, bilangan keseluruhan lampu jalan kampung yang dipasang di bawah Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung akan mencapai anggaran 480,044 unit.

"Dari segi operasi dan penyelenggaraan pula, kerajaan dijangka membelanjakan sebanyak RM93 juta setahun. Kementerian amat berharap dengan perbelanjaan yang sangat besar begini, masyarakat luar bandar khususnya dapat menikmati kesejahteraan dalam kehidupan seharian," katanya.

Turut hadir, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.