Penjenayah ikat jurupam, larikan RM17,000

Sekumpulan lelaki melarikan wang tunai RM17,000 di sebuah stesen petrol di Rompin, Jempol pagi semalam.
Sekumpulan lelaki melarikan wang tunai RM17,000 di sebuah stesen petrol di Rompin, Jempol pagi semalam.
A
A
A

JEMPOL - Seorang jurupam diikat penjenayah bertopeng sebelum melarikan wang tunai RM17,000 di sebuah stesen minyak di Rompin di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata, mangsa yang juga pengawal keselamatan di situ ketika kejadian sedang tidur di dalam keretanya di stesen tersebut sebelum menyedari kehadiran suspek kira-kira jam 3 pagi.

"Mangsa tersedar daripada tidur selepas cermin tingkap keretanya di bahagian pemandu dipecahkan suspek yang berpakaian serba gelap, bertopeng dan bersarung tangan lalu ditarik keluar sebelum diikat dengan menggunakan 'cable tie' pada bahagian tangan.

"Dalam 5 minit kemudian, mangsa diseret masuk ke ruang kedai dan diikat pada kaki serta tangan di kerusi di dalam pejabat kerani sambil dijaga salah seorang suspek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa terdengar bunyi mesin grinder yang dipercayai untuk menebuk peti besi namun tidak dapat melihat perlakuan itu berikutan suspek menolak kepalanya ke arah lantai.

"Setengah jam kemudian, kesemua suspek terus melarikan diri dan meninggalkan mangsa di situ dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terdapat lima suspek yang turut memakai jaket bertutup pada bahagian kepala.

"Suspek yang berkomunikasi dalam bahasa Melayu tidak menggunakan apa-apa senjata. Mangsa yang berjaya menyelamatkan diri kemudian ke Balai Polis Rompin sebelum dihantar ke Hospital Jempol untuk rawatan susulan," katanya.

Muhd Nurhishamuddin berkata, penjenayah berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM17,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: