Kapal tangki bawa sisa minyak ditahan

Kapal tangki yang ditahan dalam operasi bersepadu Maritim Malaysia ZM Tanjung Sedili dengan JAS, petang semalam.
Kapal tangki yang ditahan dalam operasi bersepadu Maritim Malaysia ZM Tanjung Sedili dengan JAS, petang semalam.
A
A
A
KOTA TINGGI - Sebuah kapal tangki yang membawa sisa minyak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim (ZM) Tanjung Sedili dalam operasi bersepadu dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) petang semalam.

Pengarah ZM Tanjung Sedili, Kepten (M) Mohd Zulfadli Nayan berkata, penahanan kira-kira jam 2 petang itu dilakukan selepas bot ronda Maritim Malaysia ZM Tanjung Sedili mengesan sebuah kapal yang mencurigakan di perairan Johor Timur.

"Setelah diperiksa, didapati kapal tersebut membawa sisa minyak atau barang buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Alam Sekitar.

"Kapal yang berdaftar di Belize, Amerika Tengah bersama empat kru warga Indonesia tersebut ditahan pada jarak 12 batu nautika timur Tanjung Lompat Desaru," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kes tersebut diserahkan kepada JAS untuk disiasat di bawah Seksyen 33B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduanya sekali.
Artikel Berkaitan:


Jelasnya, Maritim akan meneruskan lagi operasi bersepadu seperti ini dengan pelbagai jabatan untuk membanteras perlanggaran undang-undang di perairan negeri Johor.