KVK menang dua emas peraduan penciptaan kreatif di Korea

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Kolej Vokasional Keningau (KVK) menang dua emas dan satu gangsa pada Peraduan Penciptaan Kreatif di Seoul, Korea Selatan.

KVK satu-satunya wakil Malaysia menyertai pertandingan di Chung Mu Art Hall pada Ahad lalu dengan menghantar empat guru untuk bertanding tiga inovasi dalam pendidikan.

Pengurus pasukan Shirhajwan Idek berkata, inovasi pertama, ShapeSweetie berjaya mendapat pingat emas serta anugerah khas Korean Invention Academy.

"Ini alat bantu mengajar dalam subjek pembuatan kek yang digunakan untuk membiasakan pelajar dengan teknik menghias kek yang agak sukar bagi mereka baru sahaja belajar topik tersebut.

Inovasi tersebut adalah ciptaan guru bakeri, Anita Md Yasin yang juga ketua rombongan kolej tersebut bersama dengan dua guru, Siti Lailah Jabin dan Rowdella Raymond Raimi," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, inovasi kedua yang berjaya mendapat pingat emas serta anugerah khas Asia Invention Creativity Association adalah alat bantu mengajar dalam bidang matematik ciptaan Ernawaty Hudong, Dierdre Daryl Dasing dan Larry James.

"Alat ini berbentuk permainan menggunakan teknik dadu untuk mencari masalah matematik algebra yang perlu diselesaikan," katanya.

Beliau berkata, inovasi ketiga dianugerahkan dengan pingat perak adalah inovasi dalam Bahasa Melayu yang direkacipta Hasmi Taisin, Siti Lailah Jabin dan Rowdellah Raymond.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya inovasi tersebut dikenali sebagai Tali Pinggang Ular Dalam Telur Ajaib.

Sirhajwan berkata, KVK akan menyertai pertandingan inovasi di Australia pada 26 hingga 29 Ogos ini apabila inovasi salah seorang pelajarnya layak sebagai finalis bagi Global Students Innovation Challenge di Canberra. - Bernama