China kecam tawaran Taiwan bantu penunjuk perasaan Hong Kong

Penunjuk perasaan antikerajaan di Hong Kong mengadakan protes besar-besaran menuntut hak demokrasi. - Foto AFP
A
A

BEIJING - China mengecam tindakan Taiwan menawarkan perlindungan suaka kepada penduduk Hong Kong yang menghadapi pertuduhan susulan penglibatan dalam protes antikerajaan.

Bulan lalu, Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen menyokong tawaran perlindungan suaka kepada beberapa penunjuk perasaan Hong Kong.

Jurucakap Kabinet China bagi Jabatan Hal Ehwal Taiwan, Ma Xiaoguang memberi amaran kepada parti pemerintah Taiwan supaya tidak mencampuri urusan Hong Kong dan berhenti menggalakkan penjenayah dalam apa cara sekalipun.

"Pihak berkuasa Taiwan bukan sahaja melindungi jenayah segelintir penunjuk perasaan Hong Kong malah menyemarakkan kesombongan mereka kerana memusnahkan Hong Kong," kata Xiaoguang.

Susulan berpuluh aktivis Hong Kong yang dilaporkan melarikan diri ke Taiwan selepas insiden menyerbu masuk Bangunan Parlimen, Taipei berkata, pihaknya sedia memberi bantuan kepada mereka yang mencari perlindungan.

"Mereka secara terbuka memberi perlindungan kepada penunjuk perasaan, menjadikan Taiwan 'syurga melindungi penjenayah', di mana keselamatan dan kebajikan untuk rakyat Taiwan sendiri?, kata Xiaoguang lagi.

Beijing menganggap Taiwan sebahagian dari China yang menunggu untuk penyatuan semula namun pulau tersebut mengamalkan pentadbiran demokrasi sendiri.

Hubungan dengan Beijing menjadi teruk berikutan keengganan pentadbiran Presiden Tsai Ing-wen yang berkuasa sejak tahun 2016 mengiktiraf Taiwan sebahagian daripada 'Satu China'. - AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia