Kejohanan remaja dunia jadi medan ujian atlet muay

Muhammad Shahnaz. - Foto Stadium Astro
Muhammad Shahnaz. - Foto Stadium Astro
A
A
A

KEJOHANAN Remaja Dunia 2019 di Turki bakal menjadi medan tempur seterusnya bagi skuad negara selepas pulang dengan kejayaan tiga pingat emas dan dua gangsa dari Kejohanan Muay Thai Asia Timur 2019 di Hong Kong.

Presiden Persatuan Muaythai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata, kejohanan di Turki pada awal bulan depan akan menjadi medan ujian terbaik untuk skuad negara dalam merealisasikan sasaran membawa pulang sebutir emas dari Sukan SEA Filipina pada hujung tahun ini.

“Pada edisi lalu di Kuala Lumpur, kita meraih dua emas tetapi pada kali ini tuan rumah menurunkan had umur kepada 17 hingga 26 tahun sahaja. Bagaimanapun, kita yakin dengan kehebatan pemenang pingat perak Kejohanan Muay Thai Dunia 2019, Mohammad Rifdean Masdor untuk menjayakan misi kita.

“Cabaran utama kita ialah dua daripada atlet kita menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini,” katanya selepas menyambut kepulangan skuad negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Turut hadir menyambut ketibaan pasukan itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Selain Mohammad Rifdean yang meraih emas kategori 48kg lelaki, skuad negara turut meraih emas menerusi Nur Amisha Azrilrizal (51kg wanita) dan Mohamed Mahmoud (67kg lelaki), manakala dua gangsa diraih menerusi Zulhelmi Rosli (51kg lelaki) dan Nurul Tasha Amira Abdul Rahman (45kg wanita).

Sementara itu, Syed Saddiq memuji komitmen ditunjukkan para eksponen muda itu yang mahir menguruskan masa antara latihan, kejohanan dan pelajaran untuk membawa kejayaan kepada negara walaupun bakal menghadapi peperiksaan awam yang penting dalam masa terdekat.

Beliau berkata, perkara itu akan bincang dengan Ahmad Shapawi bagi memberikan bantuan sebaik mungkin kepada atlet muay negara untuk memastikan pasukan itu terus meningkatkan prestasi mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: