Komitmen tinggi kunci kejayaan pasukan Ragbi B-18

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Komitmen tinggi dan kerjasama yang ditunjukkan pemain adalah kunci kejayaan skuad Bawah-18 negara mempertahankan gelaran juara Kejohanan Ragbi tujuh sebelah (7s) Asia pada Ahad lalu.

Ketua jurulatih, Wan Norsyahmi Wan Daud berkata, pemain beraksi cemerlang dan bangkit semula selepas ketinggalan 0-10 pada separuh masa pertama bagi mencatatkan kemenangan 14-10 ke atas tuan rumah, China di Kunming.

“Apabila kita ketinggalan, kita melakukan pertukaran taktikal pada 'first eleven' dan ia terbukti berjaya. Para pemain bermain dengan bersungguh-sungguh dan bersemangat tinggi untuk memastikan kejayaan menjadi milik kita,” katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Terdahulu, ketibaan mereka disambut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Wan Norsyahmi turut menyambut baik pengumuman Syed Saddiq bahawa skuad berkenaan akan menerima ganjaran berbentuk program pembangunan untuk latihan dan penyertaan lebih banyak kejohanan.

Sementara itu, kapten pasukan, Muhamad Faiq Aslah Mohd Satar berkata saingan kali ini sebagai juara bertahan lebih sukar berbanding tahun lalu, apabila Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan itu.

“Pada tahun ini, hanya tiga pemain dari tahun lepas kekal, manakala sembilan lagi pemain ialah pemain baru dipilih menerusi kejohanan tempatan. Ditambah dengan negara lain yang menghantar pasukan kuat, terutamanya China, cabaran dihadapi memang sengit.

“Semua pemain dalam pasukan ini berbakat dan beri komitmen serta kerjasama yang tinggi. Saya berharap supaya kita tidak berpecah dan terus membantu negara meningkatkan sukan ragbi,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: