Pemimpin politik henti keluar kenyataan perkauman

Steven. - Foto Bernama
Steven. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT JALIL - Semua pemimpin politik perlu segera berhenti daripada mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman bagi mengelakkan wujudnya ketegangan kaum di negara ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, ini kerana tindakan itu tidak memberi sebarang kebaikan sebaliknya menyemarakkan lagi sentimen perkauman.

"Saya percaya setiap orang politik yang masuk politik tidak kira daripada parti mana pun bertujuan untuk membangunkan negara, bangsa dan agama. Tetapi ada juga antara ahli politik ini menjadikan sentimen perkauman sebagai usaha untuk mendapatkan sokongan politik.

"Sebagai contoh, isu pengenalan tulisan jawi, ada pemimpin politik yang cuba mengaitkan isu itu dengan perkauman sehingga hasrat asal untuk akademik telah bertukar menjadi perkara politik," katanya.

Beliau berkata demikian pada wawancara khas bersama Sinar Harian di pejabat Majlis Sukan Negara di sini semalam.

Menurut Chee Keong yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, pemimpin politik daripada parti kerajaan dan pembangkang perlu menumpukan usaha untuk membangunkan negara berbanding memberi kenyataan sensitif yang boleh mengundang ketegangan dalam masyarakat.

"Negara sukar untuk maju ke hadapan jika setiap perkara atau dasar yang ingin dilaksanakan kerajaan terus dikaitkan dengan politik.

"Jadi saya berharap orang politik tidak kira parti, marilah bersama-sama demi kebaikan negara, agama dan bangsa dengan memberi fokus kepada perbincangan idea dan bukan perbincangan sentimen," katanya.

Artikel Berkaitan: