Nak rasa manisnya iman?

A
A
A

"APA cita-cita anda?" Saya tanya dalam kelas.

Seorang pelajar saya angkat tangan dan jawab: "Xifu, saya nak jadi kaya macam Bill Gates!" Pelajar itu jawab dengan rasa bangga seolah-olah dia rasa dia memiliki impian yang paling manis.

Saya pun tanya: "Kalau anda dibenarkan untuk lahir semula, adakah anda mahu lahir sebagai Bill Gates?" Pelajar itu terdiam. Kebanggaannya tadi bertukar menjadi kegelisahan.

Mungkin sekarang dia tertanya-tanya sama ada Bill Gates seorang yang benar-benar bahagia!

"Saya nak jadi pensyarah mengajar al-Quran di universiti!" Pelajar lain pula beri respons seolah-olah dia rasa cita-citanya lebih murni dan suci daripada pelajar pertama.

Dia berkata: "Nabi SAW bersabda dalam hadis sahih al-Bukhari bahawa yang paling hebat antara kamu ialah yang belajar dan mengajar al-Qur'an," kebanggaannya semakin menyerlah seolah-olah impiannya direstui oleh Rasulullah!"

"Bagus!" saya puji.

"Tetapi Nabi SAW juga bersabda dalam sahih al-Bukhari bahawa salah satu daripada tiga orang pertama yang akan dicampak masuk neraka dulu ialah bukan kafir tetapi guru agama!" Kebanggaannya bertukar menjadi kekeliruan, lalu pelajar ini bertanya: "Bagaimana pula itu boleh terjadi?"

Artikel Berkaitan:

"Bila anda berkata kepada semua bahawa anda bercita-cita menjadi pensyarah al-Qur'an, jujurnya apa anda rasa?" saya tanya balik."Saya rasa diri saya hebat dan disegani ramai!" pelajar jawab dengan jujur.

Saya menyambung jawabannya: "Dan bayangkan masyarakat umum memuji anda setiap hari. Ribuan pengikut tunduk mencium tangan anda."

"Anda mendapat tauliah daripada semua jabatan agama dan dijemput memberi ceramah agama setiap hari di seluruh negara. Sekali jemput, anda mendapat bayaran sekurang-kurangnya RM2,000 kerana anda popular dan masyhur sebagai tuan guru."

"Kerana anda begitu disegani ramai, anda terbayang-bayang untuk menjadi Perdana Menteri. Kalau Dr Mahathir Mohamad yang sudah begitu tua boleh jadi PM, mengapa tidak anda sebagai seorang tuan guru al-Quran yang YouTube views sampai berjuta-juta!"

"Maka anda pun tubuhkan sebuah parti baharu yang bernama 'Parti Islam Sejati' (PIS).

Manifesto parti anda mudah, 'semua parti-parti lain hanya jual nama Islam. Hanya PIS parti Islam yang benar-benar sejati. PIS memperjuangkan kesejatian, keikhlasan, ketulenan beragama Islam!'

"Semasa berkempen PRU, anda highlight kekurangan parti-parti lain dan anda puji kehebatan PIS.

Setiap hari semakin jelas kemenangan PRU berada di pihak parti anda kerana pengikut-pengikut begitu menyanjungi anda dan begitu ramai."

"Laungan takbir disertai bersama laungan nama anda! Akhirnya PIS menang dua pertiga kerusi Parlimen! Sebagai Presiden PIS, anda dilantik menjadi PM!"

Saya melihat terus pada mata pelajar yang bercita-cita menjadi pensyarah al-Quran. Matanya bersinar-sinar. Kemudian saya tanya: "Selepas menjadi tuan guru al-Quran dan menjadi PM, apa lagi cita-cita anda?"

Pelajar itu terkejut dengan soalan saya. Terdiam sebentar, lalu jawab: "Saya akan tegakkan undang-undang hudud! Saya akan jamin bahawa tiada lagi maksiat di Malaysia.

Malaysia akan jadi negara Islam teragung di dunia!"Giliran saya pula terdiam. Tergamam dengan cita-cita tinggi pelajar itu.

Saya cuba mendalami psikologinya yang mendapat segala apa yang dia nak.

Dia nak hafal al-Quran dan dia berjaya. Dia nak jadi pensyarah al-Quran dan dia berjaya.

Dia nak menang PRU dan dia berjaya. Dia nak jadi PM dan dia berjaya. Kejayaan demi kejayaan.

Lalu saya sindir pelajar itu: "Wahai tuan guru, anda mencapai kejayaan demi kejayaan.

Anda tidak mahu rasa manisnya kegagalan?" "Saya memperjuangkan Islam. Takkanlah Xifu nak Islam itu gagal?" pelajar tersebut berhujah.

"Ya, anda berjaya tetapi kejayaan tidak semestinya manis! Anda berjaya dapat semua yang anda hendak tetapi anda lupa satu kunci kemanisan iman?"

"Apa yang saya lupa?" tanya pelajar itu dengan wajah yang kecewa seolah-olah tercabar.

"Anda bercita-cita tinggi dalam memperjuangkan Islam tetapi tiada satu pun kenyataan anda itu sudahi dengan insya-ALLAH!"

Ya, anda berjaya tetapi kejayaan tidak semestinya manis! Anda berjaya dapat semua yang anda hendak tetapi anda lupa satu kunci kemanisan iman?"

* Xifu Naser Tun Rahman ialah Pensyarah Pemikiran Kritis di UIAM