Tarik pelabur, buka peluang pekerjaan di luar bandar

Shazali Abu Mansor
Shazali Abu Mansor
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi tambahan insentif kepada pelabur untuk membuka industri baharu di kawasan luar bandar bagi mengelakkan isu miskin bandar terus menjadi serius.

Pakar Ekonomi Prof Shazali Abu Mansor dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, usaha itu sebagai langkah mengelakkan anak muda berhijrah ke bandar mencari pekerjaan.

Menurutnya, terdapat golongan miskin bandar yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk kesihatan anak-anak terjejas akibat tidak dapat menampung kehidupan ahli keluarga ramai.

"Apa yang berlaku adalah kehidupan di bandar memerlukan peruntukan kewangan agak besar sebagai contoh isi pendapatan rumah RM1,000 jika menetap di kampung sudah cukup selesa, sebaliknya nilai yang sama bagi sesetengah golongan yang menetap di bandar masih tidak mencukupi.

"Akhirnya anak-anak menjadi mangsa kerana tidak dibekalkan dengan sumber makanan yang berkhasiat," katanya kepada Sinar Harian.

Shazali berkata, miskin bandar boleh dikategorikan sebagai mereka yang memiliki bebanan dan komitmen tinggi serta tiada lebihan pendapatan sehingga mengakibatkan anak-anak tidak mendapat keperluan hidup yang terbaik dan terlibat dalam pelbagai aktiviti sosial.

Katanya, mereka yang berpendapatan rendah tetapi mempunyai tanggungan yang ramai dan komitmen pembayaran setiap bulan menetap di bandar sudah pasti keperluan keluarga terpaksa dipotong.

Mengulas mengenai akibat kesempitan hidup yang terpaksa dihadapi, beliau berkata, keperitan tinggal di bandar itulah menyebabkan ibu bapa berdepan dengan tekanan hidup yang akhirnya membawa kesan negatif kepada keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Tambah dengan miskin dari segi persekitaran termasuk miskin dari aspek persekitaran kondusif.

"Keluar rumah pun terpaksa memakan masa lama, dengan kos pengangkutan yang tinggi dan paling menyedihkan lagi anak-anak terdedah dengan masalah kesihatan kerana persekitaran berisiko mendapat penyakit," katanya.

Jelas Shazali, di kampung walaupun kanak-kanak hidup dalam kemiskinan tetapi daya ketahanan mereka lebih.

Katanya, mereka didedahkan dengan udara yang lebih baik berbanding di bandar.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun bimbang dengan gejala kemiskinan bandar yang membelenggu warga kota dan menyifatkan lebih serius berbanding kemiskinan di kampung.