Australia balas dendam, rampas kejuaraan daripada Malaysia

Foto Facebook Football Association of Malaysia
Foto Facebook Football Association of Malaysia
A
A
A

MALAYSIA gagal mempertahankan Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 18 Tahun (B-18) selepas kalah 1-0 kepada Australia dalam aksi final di Stadium Thong Nhat, Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam malam ini.

Jaringan pemain tengah, Lachlan Ricky Brook pada pada minit ke-79 menyaksikan skuad 'The Joeys' meraih kejuaraan buat kali kelima selepas 2006, 2008, 2010 dan 2016.

Kejayaan itu lebih manis untuk Australia yang berjaya melunaskan dendam setelah kalah mengejut 3-0 kepada Malaysia pada aksi Kumpulan B, 13 Ogos lalu.

Pada aksi yang disiarkan secara langsung oleh Astro Arena itu, Australia jelas menguasai babak pertama perlawanan dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya ke pintu gol Malaysia, namun berjaya dipatahkan oleh benteng pertahanan negara untuk seri tanpa jaringan sehingga separuh masa.

Sebaik sahaja babak kedua bermula, skuad negara mengubah corak permainan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu skuad 'The Joeys'.

Skuad muda negara kendalian Brad Maloney hampir berada di hadapan, namun sepakan lambung pemain tengah, Muhammad Firdaus Khaironnisam daripada luar kotak penalti pada minit ke-59 terkena palang gol Australia tatkala penjaga gol lawan, Kai James Calderback-Park sudah tertewas.

Kelekaan barisan pertahanan skuad negara membawa padah apabila Ricky Brook membuka tirai jaringan menerusi tolakan mudah setelah mendapat hantaran daripada Louis Joseph D'Arrigo.

Pemain pertahanan, Kristian Popovic hampir menggandakan jaringan untuk Australia pada masa kecederaan babak kedua perlawanan, namun percubaan beliau di dalam kotak penalti sekadar terkena tiang gol Malaysia dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, Malaysia muncul juara buat julung kali pada edisi tahun lalu selepas mengalahkan Myanmar 4-3 di pentas final.

Terdahulu, juara 2013, Indonesia menamatkan saingan di tempat ketiga selepas mengatasi juara dua kali, Myanmar 5-0 pada aksi penentuan tempat di venue yang sama. - Bernama