Pencarum Perkeso manfaat saringan kesihatan percuma masih rendah

Farihah (dua dari kanan) bersama penerima faedah Perkeso pada Program Keselamatan Jalan Raya (Advokasi) dan Pemeriksaan Kesihatan (HSP) Perkeso bersama Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) hari ini.
Farihah (dua dari kanan) bersama penerima faedah Perkeso pada Program Keselamatan Jalan Raya (Advokasi) dan Pemeriksaan Kesihatan (HSP) Perkeso bersama Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Hanya tiga peratus daripada 6,946 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang layak menerima baucar Program Saringan Kesihatan (HSP) di negeri ini memanfaatkan kemudahan itu pada tahun ini.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, perkembangan itu menyebabkan Perkeso Terengganu mengadakan pelbagai program dan aktiviti sebagai usaha untuk menggalakkan pekerja menggunakan baucar tersebut.

Menurutnya, bermula Januari hingga Julai lalu pihaknya sudah mengadakan enam program pencegahan kemalangan (advokasi) dan tiga program saringan kesihatan bersama majikan.

“Dalam usaha meningkatkan kesedaran ini, Perkeso juga memperkenalkan 'Voucherless HSP' pada 2018 kepada pekerja bagi memudahkan mereka menjalani rawatan percuma di bawah program HSP.

“Pekerja tidak perlu lagi menunggu baucar dikeluarkan Perkeso tapi dengan cara lebih mudah, mereka hanya perlu layari portal SeHAT-Perkeso untuk dapatkan nombor baucar secara SMS dan bawa kad pengenalan ke klinik panel di bawah program HSP.

“Dengan ini tiada lagi alasan pekerja untuk tidak menjalani pemeriksaan secara percuma oleh Perkeso,” katanya pada Program Keselamatan Jalan Raya (Advokasi) dan Pemeriksaan Kesihatan (HSP) Perkeso bersama Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) hari ini.

Pada program itu, seramai 120 pekerja Indah Water Konsortium Sdn Bhd menjalani saringan kesihatan percuma Perkeso dijalankan oleh Hospital Pakar Salam yang merupakan hospital panel di bawah program HSP.

Program Advokasi dan HSP merupakan usaha berterusan Perkeso ke arah merealisasikan kempen ‘Vision Zero’ cegah kemalangan tingkatkan keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Farihah berkata, melalui kempen tersebut, pihaknya menekankan tiga perkara utama yang bertujuan memupuk budaya pencegahan dalam kalangan pekerja meliputi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan.

“Secara tidak langsung, ia dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama bagi penunggang motosikal selain mencegah penyakit lebih awal khususnya pekerja berumur 40 tahun dan wujudkan suasana kerja kondusif serta tingkatkan produktiviti kerja,” katanya.