YBK cadang wujud jawatankuasa khas basmi kemiskinan

Zainal Sakom
Zainal Sakom
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mencadangkan satu jawatankuasa khas pembasmian kemiskinan secara menyeluruh diwujudkan kembali dengan menggabungkan agensi kerajaan termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan badan bukan kerajaan bagi mengurangkan miskin bandar di Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Zainal Sakom berkata, jawatankuasa itu berperanan membincangkan kaedah yang boleh dilaksanakan bagi membasmi kemiskinan menggunakan segala sumber dan tenaga sedia ada.

Menurutnya, kenyataan Menteri Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkenaan realiti rakyat miskin bandar disifatkan lebih serius adalah tepat.

"Kerajaan perlu memberi tumpuan bagi memastikan rakyat yang hidup di bandar dapat hidup dengan selesa dan tenteram.

"Penduduk luar bandar yang terpaksa tertumpu ke bandar bagi mendapatkan pekerjaan akhirnya tersepit dengan kos sara hidup yang tinggi di bandar," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Zainal mengibaratkan golongan ini bekerja dan memperoleh pendapatan sekadar cukup-cukup makan, selebihnya terpaksa menanggung kos harian sehingga menjadi gelandangan di bandar.

Katanya, YBK melihat perspektif ini dan pada masa yang sama turut membantu melalui pelbagai program bagi mengurangkan beban hidup mereka di bandar.

Sebelum ini, Rina Harun melahirkan kebimbangan dengan gejala kemiskinan bandar yang membelenggu warga kota dan beliau menyifatkannya lebih serius daripada kemiskinan di kampung.

Artikel Berkaitan:

Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, lebih banyak peluang pekerjaan perlu dicipta untuk golongan muda di kampung bagi mengurangkan penghijrahan orang muda ke bandar untuk mencari rezeki tetapi akhirnya tetap terperangkap dengan masalah kemiskinan bandar.

ARTIKEL BERKAITAN: Miskin bandar lebih serius daripada miskin kampung: Rina