Enam negeri larang Zakir Naik ceramah

A
A

Enam negeri larang Zakir Naik ceramah

Kedah, Melaka, Selangor dan Pulau Pinang adalah antara negeri yang menyatakan bahawa mereka tidak akan membenarkan Zakir Naik berceramah di negeri masing-masing susulan kontroversi yang dicetuskan dalam ceramahnya di Kota Bahru, Kelantan baru-baru ini.

Manakala terbaharu, apabila Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail menasihatkan kerajaan negeri Terengganu dan mana-mana penganjur agar menangguhkan sementara program ceramah melibatkan Zakir Naik di negeri itu buat sementara waktu.

Pendakwah Islam di setiap negeri di Malaysia perlu mendapatkan kebenaran untuk menyampaikan ceramah dari pihak berkuasa kerajaan negeri masing-masing. Walau bagaimanapun, agensi penguatkuasaan negeri juga boleh memainkan faktor.

Bagaimana pun kerajaan negeri Sarawak telah melarang Zakir daripada memasuki negeri itu sejak beberapa tahun lalu. Sarawak, seperti Sabah, mempunyai kawalan ke atas sempadannya sendiri.

Semalam, Dr Mahathir berkata Zakir cuba bermain 'politik kaum' susulan kenyataan terkini pendakwah kontroversi itu mengenai orang Cina dan penganut Hindu rakyat Malaysia.

Mufti Perlis setuju Zakir Naik dihantar pulang tapi bersyarat

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin setuju jika penceramah kontroversi Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India tetapi ia perlu dilakukan dengan bersyarat.

Memetik Harian Metro, Asri dilaporkan berkata syarat utama adalah Zakir mesti mengadakan satu dialog harmoni dengan wakil kumpulan atau pihak yang menggesanya pulang ke negara asal.

Katanya, dialog dengan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran perlu diadakan dan jika Zakir kalah katanya, beliau akan menjadi orang pertama meminta Zakir meninggalkan negara ini, dan jika Kulasegaran yang kalah, beliau perlu memikirkan ke mana mahu pergi.

Zakir menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia selepas mengatakan orang Cina dan India di negara ini, yang beliau sebut sebagai “tetamu lama”, harus meninggalkan Malaysia terlebih dahulu sebelum beliau berbuat demikian.

Sebelum itu, beliau juga mendakwa penganut Hindu Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Mahathir walaupun menerima lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

SPRM bimbang, ramai penjawat awam, orang muda ditahan

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Latheefa Koya menyuarakan kebimbangannya apabila hampir separuh daripada jumlah individu ditahan berhubung kesalahan rasuah melibatkan kakitangan awam.

Menurutnya, berdasarkan hasil dapatan SPRM dari tahun 2014 hingga Jun tahun ini, 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan atas kesalahan tersebut adalah kakitangan awam.

Kata beliau, kebanyakan kesalahan rasuah yang berlaku pula membabitkan kakitangan dalam sektor perolehan.

Separuh daripada jumlah yang ditahan itu pula terdiri daripada golongan muda yang berusia 40 tahun ke bawah.

Bicara 1MDB tangguh, mula Isnin depan

Prosiding perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak berjumlah RM2.3 bilion yang sepatutnya bermula hari ini di Mahkamah Tinggi ditangguhkan kepada Isnin depan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB bagi memberi laluan untuk kes SRC International Sdn. Bhd. diselesaikan terlebih dahulu.

Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, memaklumkan kepada mahkamah, bahawa pihaknya sudah menyerahkan pernyataan saksi kepada pembelaan Jumaat lalu.

Sementara itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan memaklumkan mahkamah, mereka memerlukan lebih banyak masa sebagai persediaan.

Hina rakyat Kelantan, NGO buat laporan polis terhadap Caprice

Kumpulan Anak Kelantan Prihatin kesal dengan dakwaan penyanyi Ariz Ramli atau Caprice yang mengatakan negeri itu mencatat angka terbanyak mempunyai masalah dadah, pembuangan bayi dan pedofil.

Jurucakapnya Norlida Daud berkata, perbuatan berkenaan menunjukkan ianya kenyataan ego Caprice selaku seorang artis tempatan dan menyinggung rakyat di negeri itu.

Katanya, kenyataan artis berkenaan jelas telah menyinggung hati rakyat Kelantan, dan perbuatan berkenaan jelas adalah kenyataan ego beliau selaku seorang artis tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya pada petang Ahad (18 Ogos) dan dikuti oleh beberapa individu dari Kelantan secara berasingan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia