Penyamun larikan wang jualan RM20,400

A
A

KEPALA BATAS - Dua pekerja kedai serbaneka tergamam selepas wang hasil jualan berjumlah RM20,400 dilarikan dua lelaki bermotosikal di Jalan 2, Kepala Batas di sini malam semalam.

Dalam kejadian jam 8.55 malam, mangsa bersama seorang lagi rakannya menaiki motosikal untuk memasukkan wang berjumlah RM20,400 hasil jualan syarikat ke bank berhampiran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa membonceng motosikal ditunggangi rakannya sambil memegang beg mengandungi wang di tengah tempat duduk antara mereka.

Katanya, ketika dalam perjalanan, mangsa dihimpit sebuah motosikal dinaiki dua lelaki sebelum suspek menarik beg mengandungi wang berkenaan dan melarikan diri.

“Mangsa tidak dapat mengecam muka suspek kerana mereka bertopi keledar dengan penutup muka, malah mangsa dan rakannya juga hampir terjatuh ketika disamun,” katanya.

Noorzainy berkata, kejadian samun tersebut adalah kali ketiga berlaku dalam tempoh seminggu di daerah ini.

“Dalam kejadian pertama jam 10 pagi pada 10 Ogos lalu, wang jualan RM5,704 sebuah kedai disamun ketika pekerjanya dalam perjalanan memasukkan duit di bank.

"Kejadian kedua jam 11.30 malam 15 Ogos lalu apabila wang hasil jualan RM2,000 disamun di sebuah bank di Sungai Dua,” katanya.

Menurutnya, modus operandi suspek hampir sama kerana menyamun wang hasil jualan kedai.

Katanya, polis sedang giat mengesan suspek dan menasihati orang ramai berhati-hati terutama mereka yang mahu memasukkan wang hasil jualan kedai.

“Jika kuantiti wang hendak dimasukkan adalah besar, pihak kedai digalakkan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di talian Hotline 04-575 9122 untuk bantuan,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia