Taufan Lekima: LKIM tubuh jawatankuasa siasat kerugian

Faiz (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Azman Harun, 82, (tiga dari kanan) ketika melawat rumah warga emas itu di Kampung Tepi Laut hari ini.
Faiz (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Azman Harun, 82, (tiga dari kanan) ketika melawat rumah warga emas itu di Kampung Tepi Laut hari ini.
A
A
A

KUALA KEDAH - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji dan menilai jumlah kerugian ditanggung nelayan akibat ribut Lekima di Kedah pada Jumaat lepas.

Pengerusi LKIM, Faiz Fadzil berkata, pihaknya prihatin terhadap nasib nelayan yang menjadi mangsa ribut Lekima itu.

Menurutnya, jawatankuasa yang ditubuhkan itu akan menilai jumlah kerugian dan kerosakan rumah yang dialami nelayan terlibat.

"Malah, kita turut menilai jumlah kerugian dan kerosakan kemudahan jeti yang dikhuatiri turut terjejas akibat kejadian ribut berkenaan.

"Sehingga kini, sebanyak 73 kediaman nelayan di negeri ini yang dikesan mengalami kerosakan akibat dipukul ribut pada Jumaat lepas," katanya selepas melawat rumah mangsa ribut di Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah LKIM Kedah, Noorhisyam Arshad dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari.

Faiz (dua dari kanan) melawat kediaman Mahazir Hassan di Kampung Tepi Laut yang rosak akibat dibadai ribut Lekima, Jumaat lepas.
Faiz (dua dari kanan) melawat kediaman Mahazir Hassan di Kampung Tepi Laut yang rosak akibat dibadai ribut Lekima, Jumaat lepas.

Faiz berkata, setakat ini hanya kira-kira 57 permohonan bantuan diterima LKIM daripada nelayan terlibat melalui lima persatuan nelayan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, permohonan dikemukakan melalui Persatuan Nelayan Kuala Kedah, Langkawi, Tanjung Dawai, Yan dan Kuala Muda.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya turun padang melakukan penilaian sebelum menyalurkan wang tabung bencana bergantung jumlah kerugian kepada nelayan terlibat.

"Untuk permulaan, wang sumbangan tabung bencana dihulurkan kepada mangsa demi membantu mereka untuk membaiki kerosakan, manakala jumlah tambahan akan diberikan selepas penilaian akhir dan dana diperoleh," katanya.

Sementara itu, mangsa ribut, Habsah Ahmad, 52, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan LKIM yang menyalurkan sumbangan berkenaan.

Menurutnya, dia sekeluarga akan menggunakan wang sumbangan sebanyak RM2,000 untuk membaiki beberapa kerosakan di kediamannya.