Fuziah gesa halang Lynas bina tapak pelupusan kekal

Fuziah Salleh
A
A

KUANTAN- Kerajaan negeri digesa supaya tidak membenarkan tapak pelupusan kekal sisa radioaktif (PDF), Lynas dibina di Pahang.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat sekiranya ada permohonan daripada Lynas untuk membina tapak PDF.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri harus menetapkan pendirian tidak membenarkan PDF dibina kerana ia mengundang bahaya dan masalah besar.

"Jika diluluskan, Lynas memerlukan 100 kali ganda tapak pelupusan seperti kilang Asia Rare Earth Sdn bhd (ARE) di Bukit Merah.

"Buat masa sekarang lebih satu juta ton sisa terjadual dan 500,000 metrik ton sisa buangan radioaktif water leach purification ( WLP) dihasilkan Lynas. Sisa radioaktif Lynas mengandungi thorium yang mempunyai jangka hayat selama 14 bilion tahun," katanya.

Oleh itu, beliau tetap dengan pendirian supaya lesen operasi Lynas dihentikan dan tapak pelupusan kekal sisa radioaktif Lynas tidak diluluskan walaupun syarikat itu belum membuat permohonan.

"Dalam tempoh empat tahun lagi sisa buangan radioaktif WLP akan meningkat berganda.

"Cukuplah negeri ini menanggung beban Lynas sebelum ini dan kita tidak seharusnya menanggung beban berterusan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia