Selangor pertimbang cadangan SPRM supaya ADUN isytihar harta

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (kiri) bersama Ketua Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya (kanan) ketika hadir pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor 2019 di Dewan Jubli Perak Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini. - Foto BERNAMA
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan mempertimbangkan cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut mengisyitharkan harta masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, cadangan itu akan dilaksanakan sekiranya ada keperluan sepertimana Exco Selangor diminta untuk mengisytiharkan harta mereka susulan mereka mempunyai kuasa eksekutif dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita sedia merangka dan berbincang kalau ada keperluan untuk ADUN isytihar harta...tetapi sebahagian besar (ADUN) tidak terlibat dalam kuasa eksekutif sebab itu keputusan kerajaan negeri sebelum ini menghadkan isytihar harta pada Exco.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin mengetuai barisan Exco kerajaan negeri melafaz ikrar dan menandatangani IBR dengan disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan Selangor komited memerangi rasuah dan menggesa semua penjawat awam negeri itu menolak rasuah.

Beliau berkata Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor yang dikuatkuasakan sejak 2011 adalah antara usaha kerajaan negeri dalam memerangi kegiatan rasuah di negeri itu.

"Di bawah enakmen ini, orang ramai diberi kebenaran untuk melihat sendiri dokumen rasmi kerajaan negeri, jadi orang awam boleh semak dan nilai sendiri apa yang kerajaan negeri lakukan.

"Kita hanya dianggap berjaya jika kita berjaya membuktikan betapa pengurusan kewangan yang bertanggungjawab membolehkan kita betul-betul membantu orang yang susah dan yang mengupayakan mereka yang lain dengan pemberian peluang yang lebih baik," katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia