Peniaga didakwa ugut langgar, bakar penguat kuasa JPJ

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan mengugut melanggar dan membakar seorang penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Julai lalu.

Adenan Ahmad Ramly bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Berdasarkan pertuduhan, Adenan, 38, didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa, Mohd Helmi Din dengan mengeluarkan kata-kata: 'Nampak budak JPJ ni, aku langgar je, lepas tu seret dia masuk longkang, letak zink bakar', selain kata-kata kesat menerusi akaun Facebook, Nan Sarang Tyrenest Nan.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah kedai makan Jalan Lapangan Terbang Subang, Kampung Melayu Subang dekat sini jam 1 petang pada 17 Julai 2019.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Aisamuddin Abdul Rahman mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret, Erry Shahriman Nor Aripin membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September depan sebagai pengurusan kes.

Selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan, mahkamah melarang Adenan mendekati saksi pendakwaan.

Artikel Berkaitan: