Zakir Naik kemuka surat tuntutan terhadap empat pihak lagi

Dr P Ramasamy, Charles Santiago (Bawah: Satees Muniandy, Dennis J Ignatius)
Dr P Ramasamy, Charles Santiago (Bawah: Satees Muniandy, Dennis J Ignatius)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas menghantar surat tuntutan kepada Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran minggu lalu, penceramah bebas, Dr Zakir Naik semalam menghantar empat lagi surat tuntutan terhadap empat individu.

Kali ini surat tuntutan itu dikemukakan kepada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; kolumnis portal berita Free Malaysia Today (FMT), Dennis J Ignatius; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy.

Berdasarkan surat tuntutan tersebut, Zakir menuntut keempat-empat individu itu menarik balik pernyataan fitnah dan mengemukakan permohonan maaf dalam masa 48 jam.

Zakir mengemukakan surat tuntutan itu melalui Tetuan Akberdin & Co.

Zakir mendakwa keempat-empat mereka ada mengeluarkan pernyataan fitnah terhadapnya masing-masing melalui portal berita FMT, Malaysiakini (Mkini) dan laman sosial, Facebook.

Mereka didakwa mengeluarkan pernyataan fitnah itu antara 11 Ogos hingga 13 Ogos lalu.

Berdasarkan surat tuntutan itu, Zakir mendakwa kenyataan fitnah itu jika difahami membawa maksud Zakir adalah seorang yang tidak jujur dan menggunakan Islam bagi kepentingan diri sendiri.

Zakir mendakwa kenyataan fitnah itu adalah tidak berasas, direka, tidak benar, diputar belit, mencemarkan reputasi dan kredibiliti serta memalukannya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, mereka memberi masa 48 jam untuk keempat-empat mereka menarik balik pernyataan fitnah daripada laman sosial dan portal dan mengemukakan permohonan maaf terhadapnya.