Pemuda Pas Kedah gesa siasat lima individu termasuk Kula Segaran

Nurul Amin (empat dari kanan) menunjukkan kenyataan media dan laporan polis yang dibuat berkaitan isu Dr Zakir di hadapan IPD Kota Setar hari ini.
Nurul Amin (empat dari kanan) menunjukkan kenyataan media dan laporan polis yang dibuat berkaitan isu Dr Zakir di hadapan IPD Kota Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah mahu siasatan dijalankan terhadap lima individu termasuk seorang menteri yang didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis untuk membangkitkan sentimen perkauman.

Ketuanya, Nurul Amin Hamid berkata, pihaknya membuat laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy; Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy serta bekas Duta Malaysia ke Argentina, Dennis J Ignatius.

Menurutnya, ini kerana kenyataan lima individu terbabit didakwa cuba memecahbelahkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Mereka individu yang berpengaruh dalam masyarakat, kenyataan seumpama boleh menimbulkan keresahan rakyat, seterusnya meretakkan hubungan antara kaum yang kini semakin tegang,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar hari ini.

Nurul Amin berkata, polis wajar membuka kertas siasatan kerana individu berkenaan melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap Dr Zakir Naik.

“Pihak berkuasa tak wajar bersikap pilih kasih dalam membuka kertas siasatan, sebelum ini 200 laporan polis dibuat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy tetapi tidak disiasat, sedangkan dalam kes Zakir, berlaku sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, kelima-lima individu terbabit wajar disiasat bawah Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi & Multimedia 1998 atau mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada.

Pada masa sama, Nurul Amin menyelar kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad yang menuduh Pas dan UMNO 'memperkudakan' isu Zakir untuk kepentingan politik parti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi kami, pimpinan DAP dan beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan isu ini untuk menutup isu-isu besar yang melanda negara,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut kesal apabila Exco Agama Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh menghalang Zakir daripada mengadakan ceramah atau program di negeri ini.

“Sepatutnya Kedah mengalu-alukan pendakwah terkenal itu dan memberi jaminan atas keselamatan beliau yang hanya hadir untuk berdakwah, bukan melakukan tindakan ganas atau ekstrem,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Zakir Naik hantar surat tuntut Kula Segaran minta maaf