Suhakam mahu masyarakat luar bandar lebih sedar tentang hak asasi

Suhakam
Suhakam
A
A
A

TUMPAT - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mahu rakyat negara ini khususnya masyarakat luar bandar mempunyai kesedaran yang lebih tinggi terhadap isu berkaitan hak asasi mereka.

Pengerusinya, Tan Sri Othman Hashim berkata, ia penting bagi memastikan kebajikan masyarakat luar bandar turut diberi perhatian.

"Berdasarkan beberapa segmen kita dapati masyarakat bandar lebih sedar dan peka tentang hak asasi berbanding penduduk luar bandar. Jurang ini tidak sepatutnya ada kerana hak asasi dan kebebasan terpakai kepada semua manusia," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Suhakam Bersama Masyarakat di Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan di sini, hari ini.

Program kali kedua Suhakam bersama nelayan itu disertai kira-kira 100 nelayan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat akar umbi mengenai hak asasi manusia dan bidang kerja suruhanjaya itu selain membuka peluang kepada masyarakat menyuarakan isu yang berkaitan hak asasi manusia.

Othman berkata, kesedaran tentang hak asasi manusia penting bagi memastikan ia dihormati dan dilindungi.

"Justeru itu, Suhakam akan turun padang sepanjang tahun ini mendekati komuniti akar umbi terutama masyarakat luar bandar bagi memberi pendedahan berhubung perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, badan bebas itu kini dalam proses mengumpulkan semua aduan dan permasalahan nelayan berhubung hak asasi mereka kepada kerajaan supaya langkah sewajarnya dapat diambil.

Setakat ini, isu kesan projek penambakan laut, pencerobohan nelayan asing, pencemaran dan subsidi diesel antara aduan yang diterima Suhakam daripada komuniti nelayan. - Bernama

Artikel Berkaitan: