Warga emas lesap RM163,500 ditipu Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita warga emas kerugian RM163,500 selepas diperdaya Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai kesihatan dalam kejadian 7 Ogos lalu.

Wanita berusia 60 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada seorang lelaki mengaku dari Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan memaklumkan mangsa membeli ubat tidur sebanyak 20 biji pada 1 dan 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, lelaki berkenaan kemudiannya menyambungkan talian berkenaan kononnya kepada seorang anggota polis di Bukit Aman bagi tindakan selanjutnya.

Menurutnya, selepas semakan kad pengenalan dibuat, mangsa diberitahu namanya tersenarai sebagai orang dikehendaki polis dan dia perlu membayar RM24,000 sebagai wang jaminan.

"Mangsa yang ketakutan telah pergi ke sebuah bank di Alma di sini dan memindahkan wang berjumlah RM24,000 ke dalam akaun diberikan.

"Namun pada 8 Ogos lalu, mangsa sekali lagi menerima panggilan kononnya daripada seorang pegawai polis berpangkat inspektor dan mengarahkan mangsa untuk memasukkan wang sebanyak RM23,000 ke dalam nombor akaun yang diberi," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, mangsa beberapa kali dihubungi oleh sindiket berkenaan sehingga 14 Ogos lalu dan mengarahkannya untuk membayar wang jaminan.

Secara keseluruhan, mangsa telah membayar RM163,500 kepada sindiket terbabit.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mangsa menyedari dia telah diperdayakan sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

"Walaupun sebelum ini banyak kes seperti ini telah dilaporkan berlaku, namun masih ada lagi orang yang terpedaya dengan sindiket yang licik dan menggunakan pelbagai alasan untuk menipu wang mangsa.

"Sekiranya mendapat panggilan mencurigakan, saya menasihatkan agar orang ramai sentiasa membuat semakan terlebih dahulu sebelum menjalankan apa jua jenis urusan khususnya melibatkan aspek kewangan," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda.