Pembantu rumah anak yatim didakwa bunuh bayi 13 bulan

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pembantu di sebuah rumah anak yatim dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas pertuduhan membunuh bayi perempuan berusia 13 bulan, dua minggu lepas.

Tengku Faiz Kamarul Azahan Tuan Kamarudin, 34, kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung dan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Bagaimanapun pengakuan tidak direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang memakai baju T dan seluar trek hitam didakwa dengan niat melakukan bunuh ke atas Sofiea Faqihah Abdul Raqiib, di rumahnya (tertuduh) di Taman Gombak Permai, Gombak di sini, antara 7.30 malam dan 8.05 malam, 4 Ogos lepas.

Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 9 Ogos lepas, media melaporkan pengasuh bayi itu dan suaminya dipercayai mendera sebelum membunuh mangsa di rumah mereka itu.

Ketua Polis Gombak,Asisten Komisioner Maarof berkata, terdapat 39 kesan kecederaan ditemukan pada badan mangsa itu.

Hasil bedah siasat oleh pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati punca kematian mangsa disebabkan parah di bahagian kepala disebabkan objek tumpul. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia