Padah jadi orang tengah 'scammers', suri rumah dipenjara

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Padah menjadi orang tengah kepada 'scammers' dengan menyembunyikan wang mangsa ke dalam akaunnya, seorang suri rumah dihukum penjara sebulan dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Majistret, Erry Shahriman Nor Aripin membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Siti Fauziah Saiden selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa bermula tarikh dituduh iaitu 19 Julai lalu.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Fauziah, 42, menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, wanita itu mengaku menolong menyembunyikan RM8,820 milik eksekutif jualan, R Krisna Priya, 30, yang dimasukkan secara berperingkat ke dalam akaun Maybank tertuduh.

Kesemua kesalahan itu dilakukannya di Maybank Cawangan Subang Perdana, dekat sini pada 14 November 2018.

Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Aisamuddin Abdul Rahman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Peguam, Muhammad Zufar Elias yang mewakili Siti Fauziah merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya.

"Tertuduh mempunyai lima anak dan salah satunya adalah orang kurang upaya (OKU) yang sangat rapat dengannya. Anak tersebut kini mengalami masalah kesihatan kerana rindu terhadap ibunya yang berada dalam tahanan sejak sebulan lalu kerana tidak berkemampuan menyediakan wang jaminan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga pengadu dalam kes ini telah berkenalan dengan seorang lelaki warga England, Davidlious menerusi laman sosial Instagram dan kerap berhubung menerusi panggilan telefon sehingga kenalannya mahu memberi bungkusan hadiah dan wang tunai £10,000 kepadanya.

Pada 13 November, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada 01128680575 bernama Siti Fauziah yang mengaku daripada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia bahawa bungkusan tersebut mempunyai barang salah dan memintanya membuat bayaran pertama RM3,550.

Percaya dengan kata-kata Siti Fauziah, mangsa memasukkan wang RM8,820 ke dalam akaun Maybank wanita tersebut menerusi tiga transaksi sebelum menyedari ditipu oleh Siti Fauziah dan Davidlious.